Empat wakil negara berjaya mengesahkan kemaraan ke suku akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Washington, Amerika Syarikat.
Perseorangan lelaki, Muhammad Faiq Masawi mengetuai kemaraan pemain negara apabila menewaskan Alexander Ringbaek dari Denmark 21-18, 21-7 pada aksi pusingan 16 terbaik di Spokane, malam tadi.
Faiq bagaimanapun berdepan ujian getir dalam misi melangkah ke separuh akhir apabila dijadual bertemu pilihan ketiga dari China, Hu Zhe An pada aksi suku akhir malam ini.
Turut mara ke kelompok lapan terbaik beregu lelaki negara, Bryan Goonting-Aaron Tai yang mengatasi cabaran pasangan India, Nicholas Raj-Tushar Suveer 21-14, 21-17.
Mereka akan membuat perhitungan dengan beregu Jepun, Kosuke Kakuta-Kaito Sugawara bagi perebutan tiket ke separuh akhir.
Sementara itu, beregu wanita, Ong Xin Yee-Carmen Ting cemas seketika sebelum bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengatasi cabaran wakil tuan rumah, Chloe Ho-Ella Lin 15-21, 21-7, 21-11.
sumber:- BH
Menanti Xin Yee-Carmen pada suku akhir adalah beregu Jepun, Maya Taguchi-Aya Tamaki.Malaysia turut mempunyai wakil pada suku akhir beregu campuran menerusi pilihan keempat kejohanan, Low Han Chen-Chong Jie Yu yang tidak berdepan masalah menundukkan gandingan Sepanyol, Rodrigo Sanjurjo-Nikol Carulla 21-9, 21-10.
Pasangan negara itu akan bertemu pilihan ketujuh dari Indonesia, Adrian Pratama-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu pada suku akhir.