Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengorak langkah untuk mengukuhkan hubungan dengan penyokong kelab berkenaan selepas mengadakan kolaborasi bersama pusat beli belah Toppen dan IKEA Tebrau selama tempoh tiga tahun.
Langkah kerjasama itu bertujuan untuk memberi peluang kepada penyokong kelab berkenaan bagi menyaksikan siaran langsung aksi membabitkan JDT di pusat beli belah Toppen yang beraksi di gelanggang lawan selain turut mendapat diskaun khas yang akan disediakan oleh IKEA Tebrau tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Operasi JDT, Alistair Edwards berkata kolaborasi membabitkan Toppen dan IKEA bernilai jutaan ringgit dan kelab itu sangat teruja dengan bekerjasama berkenaan dalam misi untuk mengeratkan lagi hubungan dengan penyokong.
“Kolaborasi ini bukan hanya mengenai JDT. Ia lebih kepada merapatkan hubungan antara penyokong selain memberi pendedahan kepada mereka untuk hadir menyaksikan perlawanan di pusat beli belah Toppen.
“Malah pihak IKEA pula bersedia untuk memberi diskaun khas kepada penyokong JDT jika mereka membeli belah di pusat beli belah berkenaan dan cara pembelian itu akan dimuktamadkan kelak,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat JDT, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Unit Komersil JDT, Kevin Ramalingam; Pengurus Stor IKEA Tebrau, Tony Vatulu dan Pengarah Komersil Ikano Centres, Arnaud Bakker.
Sementara itu, Bakker berkata, sebuah rumah kelab akan siap dibina pada tahun depan yang akan memberi ruang untuk penyokong Harimau Selatan menikmati pelbagai kemudahan.
“Antara kemudahan yang akan disediakan kepada penyokong pastinya dapat menyaksikan perlawanan membabitkan JDT yang boleh memuat maksimum seramai 4,000 penyokong dan sebuah skrin layar besar turut disediakan,” kata Bakker.
Vatulu pula menegaskan pihaknya sedang memuktamadkan konsep unik dalam Stadium Sultan Ibrahim (SSI) serta menawarkan peluang kepada penyokong JDT untuk menikmati makanan IKEA sambil menyelami inspirasi kelengkapan rumah.
sumber:- BH
“Komponen lain dalam kolaborasi itu termasuk reka bentuk IKEA untuk perniagaan yang membabitkan semua kawasan penting di Stadium Sultan Ibrahim dan promosi khas buat penyokong JDT yang berbelanja di IKEA Tebrau,” kata Vatulu.