sukan

Terkejut dengan tindakan atlet Bahrain — Zaidatul

Kuartet 4×100 meter (m) wanita negara jelas terkejut dan bagaikan hilang kata-kata apabila dinobatkan sebagai pemenang pingat gangsa bagi acara itu di Sukan Asia 2022, semalam.

Sekalipun kuartet dibarisi Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Batrisya Mohd Rizal dan Shereen Samson Vallabouy itu mendapat tempat keempat namun kuartet Bahrain yang sepatutnya memenangi pingat gangsa dibatalkan penyertaan.

Situasi itu sama sekali tidak dijangka oleh Zaidatul terutama selepas masih bersedih apabila mereka sekadar menamatkan larian di tangga keempat dan gagal dalam misi memperbaharui rekod kebangsaan.

Katanya, keadaan dan perasan menjadi lebih bercampur baur apabila pelari Bahrain datang mengucapkan tahniah kepada mereka.”Apa sahaja boleh berlaku dalam acara berganti-ganti. Memang kami terkejut kerana selepas kembali ke bilik panggilan untuk mengambil beg, keputusan rasmi belum keluar.

“Kemudian suami saya bertanya mengapa kami tidak protes kerana kuartet Bahrain melakukan kesalahan dan kami menghubungi jurulatih namun tidak mendapat balasan.

“Sehinggalah atlet Bahrain datang mengucapkan tahniah kepada kami. Ini sesuatu yang kami tidak jangkakan sama sekali,” kata Zaidatul.

Mengulas lanjut kejayaan meraih pingat gangsa itu, Zaidatul menyifatkan ia sebagai satu pencapaian yang tertinggi sekalipun catatan masa yang dilakukan tidak begitu memberangsangkan.

“Ini pingat gangsa yang sangat berharga kerana kami hanya menjangkakan dapat meraih tempat kelima pada final,” katanya.

sumber:- BH

Saingan 4x100m wanita itu menyaksikan pingat emas dimenangi kuartet China yang melakukan catatan 43.39s.Kuartet Thailand yang melakukan catatan 44.32s pula memenangi pingat perak.