Perak menempah pertembungan separuh akhir Piala Malaysia dengan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila menewaskan Sabah 1-0 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Perak, Ipoh, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan skuad Bos Gaurus mara dengan agregat 3-2 selepas terikat 2-2 dalam aksi pertama di Stadium Likas, 15 September lalu.
Turun tanpa kelebihan agregat jaringan, aksi rancak dan saling berbalas serangan dipamerkan kedua-dua pasukan untuk mencari gol pendahuluan sebaik permainan dimulakan.
Perak bagaimanapun terlebih dahulu menemui jaringan apabila hantaran bijak Sunday Afolabi pada minit ke-45 disudahkan oleh Wan Zack Haikal Wan Nor.
Sabah hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-74, namun rembatan Ramon Machado di dalam kota penalti sekadar singgah di palang gol.
sumber:- BH
Kelebihan satu gol itu bagaimanapun berjaya dipertahankan Perak hingga tamat permainan untuk mencipta kejutan melangkah ke separuh akhir selepas berdepan prestasi buruk pada awal musim ini.