Selaku juara Liga Super 2022, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan ‘standard’ mereka apabila terus bersaing dalam kancah elit bola sepak Asia, Liga Juara-Juara Asia (ACL) untuk musim kelima berturut-turut.
Bagi ACL musim 2023/24, ‘jodoh’ anak buah Esteban Solari itu tampak begitu kuat apabila sekali lagi diundi bersama wakil Jepun, Kawasaki Frontale dan wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai selain pasukan dari Thailand, BG Pathum United.
Selain BG Pathum United, tiga pasukan ini sudah berentap dalam Kumpulan I pada musim lalu yang menyaksikan skuad Harimau Selatan mencipta kejutan mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.
JDT akan membuka kempen musim ini menentang Kawasaki Frontale namun ‘bayangan silam’ bakal menghantui mereka menjelang aksi pertama mereka di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
JDT yang merangkul semua trofi domestik pada musim lalu itu memiliki rekod yang kurang memberangsangkan pada aksi pembukaan peringkat kumpulan ACL yang diharungi mereka.
Ini kerana pasukan dari Jepun sentiasa menjadi ‘badi’ dengan menghadiahkan kekecewaan buat mereka setiap kali JDT bertemu pasukan dari negara Matahari Terbit itu bagi aksi pertama peringkat kumpulan.
Dalam empat musim terdahulu, JDT tewas dalam tiga pertemuan pertama menentang pasukan dari Jepun – mereka hanya menang aksi pertama peringkat kumpulan pada musim lalu apabila menewaskan wakil dari China, Guangzhou menerusi keputusan 5-0.
Pada musim 2019, mereka tewas 1-2 pada aksi pembukaan berdepan Kashima Antlers namun mereka mengejutkan pasukan lawan 1-0 pada aksi di tempat sendiri.
Bagi musim 2020 pula, mereka dibelasah Vissel Kobe 1-5 namun perjalanan mereka di pentas ACL pada musim terbabit berakhir lebih awal selepas mereka tidak dibenarkan terbang ke Doha untuk aksi berpusat susulan COVID-19.
Musim seterusnya menyaksikan mereka membuka kempen Kumpulan G dengan kekalahan tipis 0-1 di tangan Nagoya Grampus sebelum wakil Jepun itu merakam kemenangan berganda dengan kemenangan 2-1 pada aksi kedua.
sumber:- BH
Dua pertembungan berdepan Kawasaki Frontale pada musim lalu turut menyaksikan mereka terikat tanpa jaringan pada aksi pertama namun Kawasaki Frontale ‘mengamuk’ pada aksi kedua menerusi kemenangan 5-0.