Terengganu FC (TFC) membawa bekalan dua gol pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia selepas menang 2-0 ke atas Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam ini.
Penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut dan pemain gantian, Muhammad Syahmi Zamri menjadi watak pemusnah apabila jaringannya memastikan skuad pelawat ‘gigit jari’.
Terdahulu berbekalkan sokongan lebih 13,000 peminat setia, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner berpeluang untuk mendahului pelawat pada minit kelima, namun rembatan Mamut yang hanya berdepan dengan penjaga gol, Samuel Somerville sedikit sipi di sebelah kiri pintu gol pelawat.
TFC yang merehatkan pertahanan import mendapat peluang kedua pada minit ke-23 juga menerusi Mamut, bagaimanapun rembatannya terkena pertahanan pelawat.
Sedar kerap diasak, skuad kendalian Tan Cheng Hoe memperkemaskan asakan dan mendapat peluang untuk mendahului pada minit ke-24, namun rembatan menerusi penjaring terbanyaknya, Ayron Rodriguez ditepis keluar penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin.
Pada masa kecederaan babak pertama, Mamut menceriakan kem pasukannya apabila berjaya menjaringkan gol sulung perlawanan menerusi sepakan penalti selepas rakan sepasukannya, Nurillo Tukhtasinov dijatuhkan Quentin Cheng untuk mendahului.
Bersambung babak kedua, The Red Giants melakukan tiga pertukaran serentak dengan memasukkan Ruventhiran, Noor Al Rawabdeh dan Yohandry Orozco bagi menggantikan Mukhairi Ajmal Mahadi, Ahmad Khuzaimi Piee dan Alexander Ameyaw, namun masih gagal mencari gol penyamaan.
Pada masa kecederaan babak kedua, penyerang muda, Muhammad Syahmi yang masuk menggantikan Mamut tidak melepaskan peluang terhidang apabila meledak gol kedua menerusi tandukan selepas mendapat hantaran daripada Nik Muhamad Sharif Haseefy Mohd Lazim.
sumber:- BH
Kedudukan 2-0 itu kekal memihak kepada tuan rumah sebelum aksi timbal balik pada 24 September ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor.