Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara dianggap memang perlu mendapatkan sentuhan ’emas’ Arif Aiman Hanapi untuk menghadapi pusingan akhir Piala Asia B-23 di Qatar, tahun depan.
Jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah menyifatkan tidak salah untuk menyenaraikan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 21 tahun itu kerana dia masih layak dari segi umur untuk beraksi bersama skuad B-23 negara.
Malah, bekas pemain kebangsaan itu juga percaya bahawa kehadiran pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia (Liga M) 2021 dan 2022 itu mungkin dapat memperbaiki kepincangan yang dihadapi bahagian serangan Harimau Malaya B-23.
“Bagi saya tak ada masalah untuk dia (Arif Aiman) turun bantu skuad B-23 walaupun sudah berstatus pemain senior. Perkara itu tertakluk kepada FAM.
“Mereka (FAM) sepatutnya lebih tahu kerana kalau nak keputusan yang baik, sebolehnya perlu dapatkan pemain terbaik dalam skuad. Tempoh pertandingan (skuad B-23) pun tidak bertembung (dengan skuad senior).
“Kalau dia (Arif Aiman) layak dari segi umur, ambil sahaja dia dan ini juga untuk kepentingan negara. Tiada salahnya, sebelum ini bintang dunia yang bermain di Piala Dunia pun bermain juga bersama skuad B-23 negara mereka.
“Kebetulan barisan serangan skuad B-23 nampak pincang. Bermain dengan Thailand (kempen kelayakan) banyak peluang kita tak dapat manfaatkan, mungkin kehadiran Arif Aiman memberi satu inspirasi untuk pasukan dan sebagainya,” katanya kepada BH Sukan.
Arif Aiman tidak disenaraikan bersama skuad B-23 negara ke kempen kelayakan di Thailand, sebaliknya dia membarisi skuad senior yang berdepan dua aksi persahabatan antarabangsa di Chengdu, China menentang Syria dan China.
Skuad B-23 negara bagaimanapun berjaya mengesahkan tiket ke Qatar selepas muncul sebagai antara empat naib juara terbaik selepas berakhir aksi peringkat kumpulan kelayakan.
Skuad negara yang beraksi dalam Kumpulan H melakar dua kemenangan dengan menewaskan Bangladesh 2-0 dan Filipina 4-0 sebelum tewas 0-1 di tangan Thailand pada aksi terakhir.
Ditanya mengenai prestasi Luqman Hakim Shamsudin yang beraksi di liga Iceland, Azraai mengakui faham dengan kes kurang minit permainan yang terpaksa dihadapi penyerang itu.
“Luqman kalau dia duduk dalam pasukan JDT mungkin lain cerita kerana ada latihan berintensiti tinggi. Akhyar Rashid walaupun tak main liga tetapi dalam skuad kebangsaan dia boleh beraksi dengan baik.
sumber:- BH
“Dekat sana (Iceland) siapa yang pantau dia (Luqman). Itu fakta, keadaan dia macam itu sebab dia tak dapat main (kurang minit permainan),” katanya.