sukan

Cukup-cukuplah panggil Luqman

Sudah-sudahlah panggil Luqman Hakim Shamsudin mewakili skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara kerana kehadirannya tidak membantu pasukan muda negara meraih keputusan positif.

Itu pemerhatian legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail yang melihat kehadiran pemain muda negara itu sebenarnya tidak memberi kesan besar dalam pasukan kerana lebih banyak berlari di atas padang berbanding membantu penyerang menjaringkan gol pada aksi kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-23 di Thailand.

Bukannya mahu menutup peluang Luqman untuk beraksi bersama skuad kebangsaan namun bagi Jamal, terdapat pemain lain lebih layak dipanggil mewakili negara sekali gus mampu memberi impak positif dibahagian serangan pasukan B-23.

“Saya lebih tertarik melihat aksi Luqman dan bagi saya selepas ini mungkin tidak perlu lagi panggil dia mewakili skuad B-23 kerana tidak nampak impak kepada pasukan.

“Minta maaf mungkin apa yang saya katakan tidak dipersetujui beberapa pihak namun itulah kenyatannya kerana jika beraksi di luar negara tidak semestinya pemain itu boleh beraksi dengan baik apabila mewakili negara.

“Sepatutnya Luqman yang sudah berkelana lebih dua tahun di luar negara mempamerkan aksi konsisten dan bagus namun apa saya lihat dia banyak berlari di atas padang.

“Sebagai penyerang, dia perlu tahu untuk mendapatkan menjaringkan gol atau sekurang-kurangnya mencipta gerakan supaya rakan boleh merobek kubu lawan namun situasi itu tidak berlaku,” katanya.

Mengikut rekod, penyerang muda negara itu kini menyertai kelab Liga Iceland, Njardvik FC secara pinjaman untuk tempoh semusim namun dilihat kurang diturunkan untuk beraksi dalam saingan kompetitif.

Sementara itu, Jamal berkata, secara keseluruhan barisan pemain muda negara boleh ‘pergi jauh’ cuma perlu menampilkan corak seperti dipamerkan ‘abang’ mereka dalam skuad senior.

“Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon sudah berubah dengan mengamalkan corak permainan lebih sistematik dan sentiasa memberi tekanan kepada lawan apabila hilang bola.

sumber:- HM

“Oleh itu, skuad muda negara perlu belajar lagi dengan ‘abang’ mereka bagi menghadapi saingan Piala Asia B-23 tahun depan sekali gus mengelak jadi mangsa belasahan,” kata Jamal.