sukan

Tang Jie-Ee Wei cemerlang ke suku akhir Terbuka China

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengekalkan momentum apabila berjaya mengesahkan kemaraan ke suku akhir Terbuka China, hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas pasangan ranking ke-11 dunia itu mengejutkan pilihan keenam dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Eun Jeung Na 21-15, 15-21, 21-18 pada aksi pusingan kedua di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik di Changzhou.

Mereka akan berdepan gandingan Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin bagi perebutan tiket ke separuh akhir, esok.

Turut mara ke pusingan kedua ialah beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang menewaskan pasangan Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 18-21, 21-19, 21-12.

Ini adalah pencapaian terbaik pasangan Kian Meng-Pei Jing musim ini selepas sering terkandas di pusingan awal.

Mereka akan berdepan pilihan keempat dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai di suku akhir.Sementara itu, hasrat pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong untuk melangkah ke suku akhir buat kali keenam tahun ini tidak kesampaian apabila tewas di tangan wakil Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito.

sumber:- BH

Tze Yong yang memenangi set pertama berada di ambang kejayaan pada aksi set penentuan apabila mendahului 20-17 namun dia gagal bertahan yang akhirnya menyaksikan dia akur dengan kekalahan 21-18, 11-21, 20-22.