Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak boleh terlalu merendah diri atau menganggap diri mereka sebagai pasukan kerdil dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Sebaliknya, bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar menyifatkan Harimau Selatan perlu memasuki gelanggang kejohanan tertinggi peringkat Asia itu sebagai gergasi dan mampu bersaing dengan pasukan besar yang lain.
Azlan menjelaskan, barisan pemain Esteban Solari tidak perlu gentar atau memikirkan soal gelaran gergasi Asia yang diberikan kepada lawan mereka dalam Kumpulan I terutama juara dua kali ACL, Ulsan Hyundai.
Malah, dia percaya jurulatih dan pemain JDT sudah mendapat banyak pengalaman di pentas ACL dan mengetahui apa persediaan yang perlu digandakan untuk bersaing dalam kejohanan itu.
“Bagi saya mereka (JDT) sudah bersedia untuk mempamerkan sesuatu yang mengejutkan. Pemain mesti yakin bahawa mereka boleh melakukan kejutan kerana dalam bola sepak bukan kita tak pernah lihat pasukan gergasi dikalahkan oleh pasukan kerdil.
“Jadi saya berasa JDT harus tanamkan sikap ini yang mana pemain JDT kena masuk dalam padang dengan keyakinan tinggi bahawa mereka berkebolehan untuk melakukan kejutan.
“Mereka juga sudah mempamerkan persembahan cemerlang musim ini selain JDT juga berdepan perlawanan persahabatan dengan kelab besar dan kita tengok mereka mampu bersaing.
“Pemain JDT harus memikirkan bahawa mereka juga pasukan gergasi. Saya bukan nak kata mereka perlu mendabik dada, tetapi mereka sudah membuktikannya,” katanya kepada BH Sukan.
JDT sekali lagi diundi bersama kelab Korea Selatan yang juga juara dua kali ACL, Ulsan Hyundai FC dan kelab Jepun, Kawasaki Frontale dalam Kumpulan I bagi saingan musim ini.
Musim lalu, ketiga-tiga pasukan itu turut berada dalam Kumpulan I yang mana skuad Harimau Selatan muncul juara kumpulan dan mara ke pusingan kalah mati.
Satu lagi pasukan yang turut diundi dalam Kumpulan I musim ini adalah naib juara Liga 1 Thai musim lalu, BG Pathum United FC.
sumber:- BH
JDT akan membuka tirai saingan kumpulan musim ini berdepan Kawasaki Frontale di Stadium Sultan Ibrahim, 19 September ini sebelum berkunjung ke Stadium Phatum Thani untuk berdepan BG Pathum United (3 Oktober) bagi aksi kedua.