Situasi jarang berlaku apabila skuad senior dan pasukan bawah 23 (B-23) tahun Harimau Malaya akan membuat perhitungan dengan lawan masing-masing pada hari dan waktu yang hampir sama, petang ini.
Harimau Malaya akan berdepan Syria dalam aksi persahabatan di Stadium East-Town Football Park, Chengdu, China jam 5 petang manakala Harimau Malaya B-23 akan membuka aksi kelayakan Piala Asia B-23 2024 menentang Bangladesh di Stadium Chonburi, Thailand, setengah jam kemudian.
Meskipun status perlawanan dan gelanggang berbeza, namun misi sama digalas pengendali skuad senior, Kim Pan Gon dan ketua jurulatih pasukan B-23, E Elavarasan iaitu mahukan kemenangan.
Apa yang pasti, kedua-dua pasukan itu berdepan tugas getir dengan skuad ‘abang’ menentang pasukan Syria yang berada di ranking 94 dunia manakala pasukan ‘adik’ pula wajib menewaskan Bangladesh untuk membuka peluang cerah ke pusingan akhir Piala Asia B-23.
Bagi skuad senior, walaupun hanya aksi persahabatan, namun kemenangan ke atas Syria tetap menjadi taruhan untuk meneruskan rekod cemerlang selepas memenangi semua empat aksi persahabatan pada Mac dan Jun lalu.
Cabaran yang bakal dihadapi anak buab Pan Gon kali ini jauh berbeza berbanding aksi persahabatan sebelum ini jika melihat kepada ranking dan kualiti dimiliki pemain Syria.
Harimau Malaya pernah menewaskan Syria 4-1 ketika aksi persahabatan pada 2009 sebelum kecundang 0-3 dan 1-2 dalam dua perlawanan persahabatan terakhir pada 2014 dan 2017.
Rekod itu cukup untuk membuktikan bahawa Syria ketika ini sebagai lawan yang sukar buat Harimau Malaya dan barisan pemain negara dijangka perlu bekerja keras untuk menyaingi skuad kendalian Hector Cuper itu.
Bagaimanapun, apa yang menariknya Syria belum pernah diuji Harimau Malaya di bawah era Pan Gon yang dilihat berjaya membawa pembaharuan dalam skuad itu selepas dilantik sebagai ketua jurulatih, awal tahun lalu.
Sementara itu, tugas lebih getir terpaksa dihadapi pasukan Harimau Malaya B-23 kerana keputusan berdepan Bangladesh bakal memberi impak besar terhadap perjalanan anak buah Elavarasan dalam kempen kelayakan Piala Asia B-23.
Tiga mata wajib diraih skuad muda negara dalam aksi pertama Kumpulan H itu jika tidak mahu perjuangan mereka mencapai sasaran layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Qatar tahun depan menemui jalan sukar.
Mengikut perkiraan, Harimau Malaya B-23 tidak boleh tercicir mata berdepan Bangladesh dan Filipina dengan cabaran utama mereka dijangka apabila berdepan pilihan utama Kumpulan H, Thailand dalam aksi terakhir, Selasa ini.
Berdasarkan skuad mantap yang dibawa ke Chonburi, percaturan terbaik harus direncanakan Elavarasan bermula dengan aksi berdepan Bangladesh selain cuba mendapatkan jaringan sebanyak mungkin kerana 11 juara kumpulan dan hanya empat naib juara terbaik kumpulan akan meraih tiket ke pusingan akhir.
sumber:- BH
Pada masa yang sama, pemain negara tidak boleh terlampau yakin atau leka kerana jika silap langkah tidak mustahil Harimau Malaya B-23 boleh dikejutkan Bangladesh.