sukan

Ng Tze Yong cipta kejutan di Terbuka China

Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mencipta kejutan apabila menundukkan lawan di ranking keenam dunia dari India, H S Prannoy di pusingan pertama Terbuka China, sebentar tadi.

Tze Yong yang berada di ranking ke-22 dunia bagaimanapun dipaksa bermandi peluh oleh pemenang pingat gangsa di Kejohanan Dunia Copenhagen 2023 itu selepas memenangi set pertama, 21-12.

Prannoy, 31, bangkit memenangi set kedua dengan keputusan 21-13 bagi memaksa pertarungan dibawa ke set penentuan yang dimenangi Tze Yong dengan keputusan 21-18.

Tze Yong dijadual bertemu Shesar Hiren Rhustavito di pusingan kedua selepas pemain Indonesia berkenaan menewaskan lawan dari India, Priyanshu Rajawat 21-13, 26-24 dalam tempoh 41 minit di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik di Changzhou.

Dalam pada itu, beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan rakan sepelatih, Goh Soon Huat-Shevon Lai 25-23, 21-15.

Kian Meng-Pei Jing dijadual bertemu pasangan Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti yang membuat kejutan menewaskan beregu ketujuh dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-16, 12-21, 21-16.

sumber:- BH

Turut melangkah ke pusingan kedua adalah beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang menewaskan Debora Jille-Cheryl Seinen 17-21, 21-17, 21-10.