Pemain tengah skuad kebangsaan, Brendan Gan menegaskan bahawa dia tidak kisah jika diletakkan di mana-mana posisi oleh pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon.
Kapten Selangor itu berkata dia tetap akan memberi sumbangan yang terbaik buat pasukan walaupun berada di bangku simpanan atau di tempat duduk penonton.
Katanya, perkara paling utama adalah pasukan negara dapat memperagakan aksi terbaik ketika Harimau Malaya sedang mengasah taring untuk menuju ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di Qatar awal tahun depan.
“Soal posisi mana saya akan bermain kena tanya jurulatih, namun saya bersedia bermain di mana-mana posisi yang jurulatih mahukan.
“Walaupun berada di bangku simpanan, dalam kesebelasan utama atau masuk sebagai pemain gantian dan jika menyokong pemain lain dari tempat duduk penonton sekali pun saya akan buat yang terbaik buat pasukan meraih keputusan positif,” katanya.
Sebelum ini, Brendan yang terkenal dengan corak permainan agresif pernah diberikan tanggungjawab sebagai pertahanan tengah oleh Pan Gon.
Harimau Malaya terbang ke Chengdu, China, semalam bagi mengharungi aksi persahabatan antarabangsa berdepan pasukan di ranking ke-94 dunia, Syria, esok sebelum menentang China (80), Sabtu ini.
Perlawanan itu menjadi ujian sebenar buat Malaysia yang berada di tangga ke-136 dunia dalam usaha Pan Gon mencari ‘ramuan’ terbaik untuk menghadapi Piala Asia 2023.
Selain itu, Brendan turut menyifatkan Pan Gon dan barisan kejurulatihan sudah melakukan tugas yang terbaik sepanjang membimbing Harimau Malaya.
Dia berkata, segala taktikal permainan sudah berada dalam perancangan Pan Gon dan apa yang tinggal buat pemain adalah memberi fokus 100 peratus serta melaksanakan tugas di atas padang.
sumber:- BH
“Saya fikir Pan Gon dan staf kejurulatihan melakukan tugas yang sangat baik. Mereka mendapatkan maklumat yang orang biasa tidak temui serta menemui taktikal untuk menguatkan lagi pasukan,” katanya.