sukan

Ranking lebih bawah tewaskan Ranking lebih atas

Kedudukan lawan berada di ranking lebih tinggi tidak membuat barisan pemain Harimau Malaya ‘goyang’ pada aksi persahabatan menentang China dan Syria pada 6 serta 9 September ini.

Menurut pemain naturalisasi negara Paulo Josue, jurang ranking yang besar membabitkan kedua-dua pasukan itu meniup semangat barisan pemain Harimau Malaya untuk mempamerkan aksi terbaik sekali gus mencipta keputusan positif pada perlawanan persahabatan itu.

“Ini adalah bola sepak di mana pasukan yang berada pada ranking lebih bawah boleh menewaskan pasukan yang berada di ranking lebih tinggi. Kita sudah bersedia sepenuhnya untuk memberi cabaran kepada Syria.

“Saya lihat kita memiliki segala-galanya untuk memberikan perlawanan yang terbaik. Semua pemain tahu apa yang perlu dilakukan dan sudah memahami corak permainan serta falsafah yang diinginkan barisan kejurulatihan.

“Ini satu pilihan yang tepat menentang pasukan di ranking lebih tinggi kerana kita tahu aksi pada Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 dan Piala Asia 2023 juga tidak mudah. Kita perlu ambil cabaran ini,” katanya pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kelmarin.

Mengikut rekod, Josue menjadi antara pemain paling menyerlah dalam dua aksi persahabatan terakhir apabila meledak empat gol termasuk hatrik ketika Malaysia membelasah Papua New Guinea 10-0.

Selain itu, Josue berkata, kem latihan pada kali ini berbeza berbanding terdahulu sekali gus memberi sedikit tekanan kerana perlu membuat persiapan rapi untuk tampil lebih meyakinkan pada pertemuan menentang China dan Syria.

“Sedikit tekanan buat saya apabila kembali ke kem latihan pusat tetapi semuanya berjalan dengan baik. Sudah tentu saya mahu meledak banyak gol tetapi menentang pasukan yang kuat, saya tidak jangka banyak gol akan disaksikan.

“Siapa pun yang bermain nanti, mereka perlu berikan yang terbaik kerana mereka adalah pemain terbaik dalam negara ketika ini.

“Saya tidak kisah untuk lakukan apa sahaja untuk membantu pasukan dan jika ada peluang menjaringkan gol, saya akan cuba lakukannya,” katanya.