sukan

Tak kering bulu Syihan kali ini

Jenama sukan terkenal, Nike pernah mengeluarkan iklan klasik berbunyi ‘penjaga gol Itali, kerja termudah di Eropah’ yang merujuk kepada kemantapan benteng Itali sekali gus membuatkan penjaga gol Azzurri tidak perlu bekerja keras mengawal gawang.

Dalam konteks saingan Liga Malaysia (Liga M), situasi terbabit mirip dengan apa dialami penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Ahmad Syihan Hazmi yang hanya melepaskan enam gol dalam Liga Super setakat ini.

Dibantu pertahanan kental skuad Harimau Selatan, ada kalanya Syihan tidak banyak diuji oleh jentera serangan pasukan lawan dan aksi paling sukar dihadapinya setakat ini mungkin ketika melepaskan tiga gol ketika berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC, minggu lalu.

Bagaimanapun, bagi Syihan, situasi jarang diuji dalam perlawanan domestik itu sehingga dia boleh dianggap bagaikan ‘bersantai’ di atas padang tidak mendatangkan masalah untuk dia mengekalkan prestasi apabila bersama skuad Harimau Malaya.

“Sebagai pemain yang diberikan kepercayaan oleh jurulatih, kita kena buat yang terbaik dan memberikan fokus lebih 100 peratus selain komitmen yang betul-betul besar bagi membantu skuad kebangsaan.

“Saya percaya ia bukan satu masalah, jadi doakan yang baik-baik untuk saya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pestabola Merdeka di Wangsa Maju, semalam.

Selain Syihan, skuad kebangsaan memiliki dua lagi penjaga gawang pada panggilan kali ini iaitu Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan Mohd Azri Ghani.

Mengulas mengenai pertembungan berdepan Syria dan China dijadual minggu depan, bekas penjaga gol Negeri Sembilan ini menyifatkan perlawanan itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh barisan pemain untuk mengutip pengalaman berharga.

“Kita berpeluang menguji pasukan di ranking yang lebih tinggi, jadi kita perlu ambil apa yang boleh kita belajar dan kita perbaiki untuk masa akan datang.

sumber:- BH

“Apa yang kurang dalam perlawanan nanti, kita perlu tambah dan saya yakin semua pemain sudah bersedia untuk mengharungi perlawanan terbabit,” katanya.