sukan

Ujian sebenar Aaron-Wooi Yik di Suku Akhir

Beregu lelaki utama negara, Aaron-Wooi Yik berdepan ujian getir menjelang pertemuan menentang pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi pada aksi suku akhir Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark, malam ini.

Bagi meneruskan perjuangan mempertahankan gelaran dimenangi tahun lalu, pilihan keempat kejohanan itu perlu menamatkan badi kekalahan di tangan Liu Yu Chen-Xuan Yi.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik tewas dalam semua tiga perlawanan dengan pasangan nombor tujuh dunia berkenaan sebelum ini.

Bagaimanapun, kemenangan ke atas juara Olimpik Tokyo 2020 dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin di pusingan ketiga, malam tadi menjadi tonik tambahan buat Aaron-Wooi Yik bagi menampilkan persembahan terbaik mereka untuk merebut tiket ke separuh akhir.

Wooi Yik, berkata tahap keyakinan mereka makin meningkat dan semakin menyesuaikan diri dengan keadaan di gelanggang selepas mengharungi tiga perlawanan.

“Kami berasa lebih baik dalam perlawanan hari ini (malam tadi) dan semakin menyesuaikan diri dengan gelanggang dan tiupan angin. Namun, ada lagi yang kami perlu perbaiki kerana kami bermula perlahan di set pertama.

“Bukan setiap hari kami boleh bangkit dan itu yang akan menjadi fokus kami untuk perlawanan seterusnya,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sementara itu, Malaysia turut mempunyai dua lagi wakil pada aksi suku akhir, membabitkan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Pearly-Thinaah yang menyingkirkan juara dunia dua kali dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara akan bertemu beregu China, Zheng Shu Xian-Zheng Yu.

Seperti Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah juga dijangka berdepan tugas mencabar apabila berdepan lawan yang mereka tewas dalam semua tiga pertemuan sebelum ini.

Tang Jie-Ee Wei pula yang membuat penampilan pertama sebagai gandingan di Kejohanan Dunia akan menentang pilihan kedua dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

sumber:- BH

Watanabe-Higashino sebelum ini turut merakam kemenangan ke atas Tang Jie-Ee Wei dalam satu-satunya pertemuan antara mereka.