Adakah Kim Pan Gon akan tampil dengan pendekatan pemilihan baharu bagi menepati selera taktikal dan strategi Harimau Malaya untuk aksi persahabatan bulan depan?
Itu persoalan yang timbul selepas jurulatih dari Korea Selatan itu menegaskan tidak akan memberi jaminan kepada pemain ‘regular’ untuk dipanggil dalam kem latihan selepas ini.
Bagi memenuhi selera peminat bola sepak tempatan yang mahukan skuad terbaik, Pan Gon sebelum ini telah menggunakan kepakarannya memilih pemain yang dianggap terbaik tanpa melihat minit permainan mereka bersama kelab.
Antara pemain yang jarang beraksi di kelab tetapi terpilih mewakili Harimau Malaya ialah Syafiq Ahmad, Syamer Kutty Abba, Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh.
Sebelum ini, Pan Gon menegaskan pemilihan pemain lebih kepada karakter dan bakat yang mana ia perlu sesuai dengan falsafah Harimau Malaya.
Bagaimanapun, kenyataan terbaharu Pan Gon hanya yang terbaik dalam liga akan dipanggil membuatkan peminat tertanya-tanya, apakah ada muka baharu menguatkan Harimau Malaya.
“Dari awal sudah ramai pemain dipanggil, mereka perlu bekerja keras bersaing sesama sendiri secara sihat. Jadi kita (barisan kejurulatihan) akan meninjau dan memantau perkembangan pemain.
“Kita juga akan melihat siapa yang terbaik (di setiap posisi) dan siapa dan pemain mana yang mampu mengikut acuan taktikal dan teknikal kita akan terapkan untuk Harimau Malaya.
“Semua pemain kena berada pada tahap terbaik dan mencabar sesama sendiri untuk terpilih ke skuad ini,” katanya yang bakal membawa pasukan ke Chengdu, China untuk menghadapi dua aksi persahabatan bulan depan.
Mengikut perancangan, dua pasukan yang akan ditemui berada pada ‘kelas’ berbeza, di mana Syria menghuni ranking ke-94 dan China80 dunia.
Malaysia yang menghuni ranking ke-136 dunia akan berdepan Syria pada 6 September sebelum membuat perhitungan menentang pasukan tuan rumah pada 9 September, dengan kedua-duanya berlangsung di Chengdu, China.
Selepas itu, Harimau Malaya akan pulang ke tanah air untuk mengharungi kejohanan Pestabola Merdeka 2023 yang menyaksikan Malaysia akan menentang India pada 13 Oktober dan sekiranya menang menanti di final ialah antara Palestin atau Lebanon.