sukan

Esteban Solari kekal dengan pendirian

Rentak kemenangan yang dicipta Johor Darul Ta’zim (JDT) sepanjang 19 perlawanan meletakkan pasukan itu semakin hampir menoktahkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut.

Namun, pengendali JDT, Esteban Solari tampak masih mengekalkan pendiriannya apabila enggan terlalu memikirkan kejuaraan liga, sebaliknya lebih terarah memberi fokus satu demi satu perlawanan yang beliau anggap semakin mencabar.

Skuad yang bergelar Harimau Selatan itu akan melayani kunjungan Perak FC pada pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok dan pengendali kelahiran Argentina itu tetap menyifatkan ia pertembungan sukar buat barisan pemainnya, apatah lagi pemain muda The Bos Gaurus mula menunjukkan peningkatan.

“Berdepan Perak sudah tentu ia perlawanan sukar memandangkan pasukan itu sudah mula mempamerkan kebangkitan selepas menewaskan Kedah 3-1 dalam saingan Piala Malaysia dan momentum itu diteruskan apabila menundukkan Penang dengan jaringan sama.

“Jadi kami harus meningkatkan lagi disiplin taktikal dan mengekalkan permainan berintensiti tinggi malah sebarang kelemahan yang dikesan perlu segera diperkemaskan dan pemain juga perlu mengelak daripada beraksi dalam tekanan kerana ia boleh menjejaskan rentak permainan,” kata Solari.

Walaupun tanpa tonggak utama seperti Fernando Forestieri, Diogo Luis Santo dan Leandro Velazquez yang cedera, pendekatan taktikal bekas penolong jurulatih Bawah 23 tahun Argentina itu dengan membuat perubahan di posisi tengah tidak menjejaskan rentak permainan.

sumber:- BH

Kelibat Juan Muniz bergandingan bersama Shio Hong Wan dan Oscar Arribas membentuk persefahaman yang menarik malah pemain import baharu JDT, Heberty Fernandes turut membuktikan sentuhan berbisanya.