sukan

Tidak ada tiket fizikal akan dikeluarkan

Tiket perlawanan Liga Super bagi aksi Sabah FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Likas, Rabu ini sudah habis dijual sejak semalam.

Berdasarkan perkongsian di akaun Facebook Sabah FC, semua tiket untuk menyaksikan perlawanan yang ditunggu peminat bola sepak Sabah itu habis dijual secara dalam talian.

Berikutan itu, katanya tiada jualan tiket secara fizikal bagi menyaksikan perlawanan di Stadium Likas yang mempunyai kapasiti lebih 20,000 penonton itu.

“Untuk pengetahuan, tiket perlawanan menentang JDT pada Rabu ini sudah habis dijual. Tidak ada tiket fizikal akan dikeluarkan,” kata perkongsian di akaun Facebook Sabah FC.

Kali terakhir JDT bertandang ke gelanggang skuad Sang Badak itu ialah pada aksi Liga Super musim lalu, iaitu pada 15 Julai 2022 yang menyaksikan Sabah tewas tipis 1-2.

Pertemuan kedua-dua pasukan itu menarik perhatian peminat bola sepak Sabah untuk melihat sama ada skuad Sang Badak mampu mempertahankan Stadium Likas daripada dibolosi JDT.

Sepanjang aksi Liga Super musim ini, Sabah FC belum pernah tewas ketika menentang lawan di Stadium Likas, kecuali hanya seri sekali ketika bertemu Terengganu FC pada 19 Mei lalu.

sumber:- HM

Sabah kini berada di kedudukan kelima carta liga dengan mengutip 36 mata, jauh ketinggalan berbanding JDT yang berada di puncak liga dengan rekod tanpa kalah atau seri sepanjang aksi Liga Super musim ini.