sukan

Pan Gon penentu nasib Faisal Halim

Nasib pemain sayap skuad bola sepak kebangsaan, Faisal Abdul Halim sama ada akan dipanggil atau tidak untuk aksi persahabatan antarabangsa bulan depan bergantung kepada pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon.

Peluang untuk Faisal atau Mickey menyertai Harimau Malaya bagi aksi berdepan Syria dan China di Chengdu, China kini menjadi tanda tanya susulan penggantungan sebulan yang dikenakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadapnya.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika diminta mengulas mengenai peluang pemain Selangor itu untuk berada dalam skuad Harimau Malaya bagi aksi persahabatan bulan depan menjelaskan keputusan itu terserah kepada Pan Gon.

“Perkara itu (peluang Faisal dipanggil sertai Harimau Malaya) kita serahkan kepada Pan Gon,” katanya ketika ditemui pada majlis Perasmian Liga Wanita Nasional (LWN) 2023 di Stadium UiTM Shah Alam, hari.

Jawatankuasa Rayuan FAM dalam mesyuarat, semalam mengekalkan hukuman penggantungan sebulan yang dikenakan ke atas Faisal iaitu dari 25 Julai hingga 23 Ogos depan.

Jawatankuasa itu bagaimanapun bersetuju untuk memberi kelonggaran membenarkan Faisal kembali turun menjalani latihan bersama Selangor FC berkuat kuasa serta-merta bagi memastikan dia dapat mengekalkan tahap kecergasannya sebagai seorang pemain bola sepak.

Penggantungan itu menyaksikan Faisal tidak akan mendapat minit permainan dalam tempoh sebulan sekali gus meletakkannya dalam situasi sukar untuk merebut tempat dalam skuad Harimau Malaya.

Untuk rekod, Mickey menjadi tonggak penting dalam skuad Pan Gon sebelum ini dikenakan hukum itu susulan kenyataan yang dikeluarkannya ketika temu bual media selepas berdepan Sabah, April lalu.

sumber:- BH

Dia sebenarnya digantung empat bulan bermula 25 Julai hingga 21 November ini, namun hanya dikenakan penggantungan selama sebulan (25 Julai hingga 23 Ogos) yang mana penggantungan tiga bulan seterusnya ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kelakuan baik selama 12 bulan bermula tarikh 24 Ogos 2023.