Sampai bila, Atau kami perlu jumpa TMJ untuk adu nasib

“Sampai bila kami sekeluarga nak tidur bawah khemah? Kalau tiada pilihan juga, terpaksalah saya jumpa TMJ (Tunku Mahkota Johor) mengadu nasib kami,” kata Mohd Kamal Rosdi.

Mohd Kamal, 47, dan lapan ahli keluarganya terpaksa berteduh di bawah khemah sejak hampir empat bulan lalu selepas rumah mereka di Parit Mislam di sini, musnah dalam kebakaran 15 April lalu.

Walaupun ada pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) datang menjenguk dan menjanjikan bantuan termasuk membina rumah baharu, namun kelibat mereka tidak lagi muncul sehingga hari ini.

Paling membimbangkan Mohd Kamal ialah keselamatan mereka sekeluarga. khasnya pada waktu malam, kerana tapak khemah itu turut menjadi laluan binatang buas.

“Bayangkan kami tidur dalam khemah dengan dinding tak ada, hanya di kelilingi kain langsir dan kanvas sebagai penghadang. Bagaimana kami boleh lena dalam keadaan ini.

“Minggu lalu, jam 4.30 pagi, kami anak-beranak terjaga kerana khemah hampir terangkat akibat ribut yang turut diselangi dengan hujan lebat, kami hanya berpaut pada tiang khemah.

“Kami bukan meminta simpati tetapi hanya sekadar menuntut janji serta mahukan pihak berkaitan buka mata. Saya mohon prihatin, bukan untuk saya tetapi untuk kedua ibu bapa dan anak-anak saya,” katanya.

Menurutnya, walaupun banyak pihak datang menjenguk termasuk menawarkan bantuan mendapatkan rumah baharu, namun sehingga kini tiada khabar berita.

Dia turut memaklumkan sudah banyak kali berurusan dengan pihak berkaitan bagi bertanyakan perkembangan bantuan namun jawapan diberi ialah, ‘dalam proses untuk kelulusan’.

“Andainya masalah ini tidak mampu diselesaikan, saya terpaksa memohon untuk berjumpa TMJ (Tunku Mahkota Johor) bagi mengadu nasib kami,” katanya ditemui.

Mohd Kamal berkata, ada pihak menyarankan supaya mereka sekeluarga menyewa di inap desa yang terletak di luar kawasan itu namun terpaksa ditolak kerana jauh dari sekolah anak serta tempat kerjanya.

“Ibu bapa (Masuri Mislam, 68, dan Maskonah Dahlan, 68) saya pun sudah tak larat. Kalau boleh, saya hanya mahukan ‘ibu rumah’ untuk kesenangan ibu bapa selain lima anak saya yang berusia lapan hingga 21 tahun.

“Keselesaan mereka penting, malah seorang daripada anak saya bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini. Kasihan saya tengok mereka kalau cuaca panas terpaksa berpeluh, duduk bawah khemah terasa bahangnya,” katanya.

Tragedi kebakaran berlaku jam 11.15 pagi, iaitu seminggu sebelum Aidilfitri, menyebabkan rumah pusaka milik ibu bapa Mohd Kamal, musnah dalam kebakaran.

Ia dipercayai berpunca daripada litar pintas. Kebakaran turut memusnahkan sebuah bengkel, kereta dan motosikal.

sumber:- HM

Selepas kejadian, mereka sekeluarga membina khemah hasil bantuan penduduk kampung untuk dijadikan tempat berteduh sementara di hadapan tapak rumah asal.