Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong percaya corak permainan yang lebih berani ditampilkannya menjadi antara faktor dia dapat menumbangkan bekas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew di pusingan pertama Terbuka Jepun, hari ini.
Tze Yong berjaya melunaskan dendam ke atas Kean Yew apabila mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua menerusi kemenangan straight set 21-16, 21-17 pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Yoyogi di Tokyo.
Minggu lalu, pemain ranking ke-21 dunia itu terpaksa akur tewas di tangan lawan berkenaan Terbuka Korea.
“Hari ini saya bermain dengan baik, tetapi agak kecewa apabila saya terlepas beberapa mata ketika bermain di bahagian depan.”Namun, secara keseluruhan saya bermain lebih berani dalam perlawanan kali ini,” kata Tze Yong yang mengakui motivasinya semakin tinggi dalam misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 tetapi pada masa yang sama mengakui perjalanannya masih jauh bagi merealisasikan impian berkenaan.
Menanti Tze Yong di pusingan kedua, esok adalah pemain Jepun, Koki Watanabe yang mara selepas mengetepikan rakan senegara yang juga bekas pemain nombor satu dunia, Kento Momota 13-21, 21-16, 21-13 dalam satu lagi aksi pusingan pertama.
Sebagai rekod, ia akan menjadi pertemuan sulung antara Tze Yong dengan Watanabe sepanjang kerjaya mereka.
Sementara itu, nasib malang terus menghantui pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia apabila tersingkir di pusingan pertama.
Zii Jia yang turun menentang wakil tuan rumah, Kenta Nishimoto gagal mengekalkan momentum selepas menang set pertama 22-20 apabila tewas dua set berikutnya 17-21, 19-21.
Ini adalah kekalahan pusingan pertama kedua berturut-turut buat Zii Jia selepas turut mengalami nasib sama di Terbuka Korea, minggu lalu.
Sementara itu, skrip sama turut dialami seorang pemain perseorangan lelaki profesional negara, Cheam June Wei yang terpaksa akur tewas di tangan jaguh Indonesia, Jonatan Christie 7-21, 9-21.
Acara beregu lelaki pula menyaksikan pasangan negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan wakil Jepun, Ayato Endo-Yuta Takei 21-18, 21-15.
sumber:- BH
Juara Terbuka Amerika Syarikat itu akan bertemu beregu China, Liu Yiu Chen-Ou Xuan Yi bagi perebutan tempat ke suku akhir.