sukan

Lapor polis hina Kesultanan Johor

Isu panas membabitkan perlawanan akhir Piala FA memasuki babak seterusnya apabila satu laporan polis yang dibuat oleh penyokong bola sepak membabitkan isu menghina kerabat Diraja Johor susulan insiden penyokong dipukul baru-baru ini.

Menurut sumber, penyokong bola sepak itu membuat laporan polis di Balai Polis Balik Pulau, Pulau Pinang, susulan terdapat tulisan menghina kerabat diraja itu yang dipaparkan seorang individu di kumpulan laman sembang WhatsApp.

Katanya, kata-kata hinaan itu dikeluarkan individu berkenaan dipercayai susulan insiden seorang lelaki dipercayai penyokong Kuala Lumpur City (KL City) FC dipukul pada perlawanan final Piala FA hingga menyebabkan kecederaan serius di muka.

Suspek mengeluarkan kata-kata cacian dan tidak berpuas hati terhadap kejadian yang berlaku pada perlawanan final itu.

“Walaupun sudah dinasihati supaya menghentikan perbuatan terbabit kerana boleh menimbulkan isu berkenaan sensitif namun dia tetap meneruskannya menyebabkan laporan polis dibuat untuk tindakan susulan,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan seorang penonton perlawanan akhir bola sepak Piala FA 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan KL City, mendakwa dirinya dipukul oleh anggota keselamatan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, berkata lelaki yang berusia 30 tahun itu turut mendakwa dirinya mengalami kecederaan dan membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, di sini.

sumber:- HM

“Mangsa telah pulang ke Kuala Lumpur dan mendapat rawatan, seterusnya ditahan di wad Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Keadaan mangsa baik dan stabil,” katanya.