sukan

Hairan dengan Syihan

Pengendali Kuala Lumpur City, Bojan Hodak pasrah selepas misi untuk menafikan Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara musim kedua berturut-turut tidak kesampaian apabila tumpas 2-0 pada final Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Croatia itu tetap berbangga dengan komitmen pemainnya yang mampu mencetus sengsara buat skuad kendalian Esteban Solari sebelum meraih kemenangan apabila pendekatan taktikalnya pada perlawanan itu hampir membuahkan hasil.

“Kami beraksi dengan baik sepanjang 70 minit dan mengikut perancangan taktikal yang direncana malah untuk tewaskan JDT kami perlu ada corak permainan yang baik dan aksi babak pertama tampak baik apabila kami memperoleh dua peluang menjaringkan gol.

“Kami ada satu peluang pada babak pertama selepas bola rembatan Matko (Zirdum), tapi saya tak tahu bagaimana Syihan (Hazmi Mohamed) dapat selamatkannya. Selain peluang Sara (T Saravanan) hampir mencipta gol.

“Tapi apabila pemain JDT nombor 6 (Shio Hong Wan) menjaringkan gol menyentap semangat juang pemain KL City disusuli pula gol pemain nombor 10 (Leandro Velazquez) jelas meruntuh semangat kami,” katanya.

Hodak menegaskan bagi menewaskan Harimau Selatan dalam aksi final menagih persembahan sempurna dan pemainnya hampir beraksi sempurna tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.

Tegasnya, selepas terikat tanpa jaringan pada babak pertama, pemain JDT tampak menggelabah dan tekanan mula menjejaskan rentak permainan pasukan itu tapi selepas mereka menjaringkan gol mereka mula mendapat keyakinan.

sumber:- BH

“Apapun saya bangga dengan pencapaian KL City selepas layak ke final kerana kami sebuah pasukan yang mempunyai bajet rendah tapi mampu buat kejutan, ia cukup membanggakan,” kata Hodak.