sukan

Hanya sempat beraksi tidak sampai lima minit

Di sebalik kegembiraan berikutan kejayaan 2-1 Perak FC ke atas Kuching City, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi kecewa dengan mutu pengadilan perlawanan di Stadium Negeri, Kuching, Ahad lalu.

Bagi Pengerusi Perak FC itu, tindakan pengadil tidak melayang sebarang kad kepada pemain tuan rumah yang melakukan terjahan keras terhadap Mohd. Syukri Baharun tidak boleh diterima.

Berikutan terjahan itu, Syukri hanya sempat beraksi tidak sampai lima minit kerana terpaksa dikeluarkan.

“Semua orang dalam stadium nampak terjahan keras pemain itu terhadapSyukri. Terjahan seperti itu layak diberikan kad merah tetapi pengadil tidak memberi sebarang amaran kepada pemain Kuching City.

“Sekali lagi Perak FC menjadi mangsa mutu pengadilan lemah, ” katanya kepada Utusan Malaysia.

Justeru Abdul Azim berkata, Perak FC akan mengemukakan bantahan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung insiden tersebut dan mahu tindakan tegas terhadap pengadil tersebut.

Apapun Pengerusi Perak FC itu berbangga dengan kejayaan pasukan mengutip mata penuh ketiga mereka dalam Liga Super

“Saya amat berasa bangga dan teruja dengan kemenangan pasukan, sudah lama sangat saya menunggu keputusan yang memihak kepada kami.

“Alhamdulillah doa kami dimakbulkan akhirnya, tahniah saya kepada semua iaitu jurulatih dan pemain-pemain di atas kejayaan ini dan berharap mereka mampu meneruskan momentum ini,” katanya.