“Saya tidak tahu berkenaan perkara ini,” jelas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) Datuk Misbun Sidek, selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan memutuskan nasib legenda badminton negara itu minggu depan.
Menurut Misbun, yang membawa skuad remaja negara di Kejohanan Badminton Asia Yogyakarta, Indonesia baru-baru ini beliau tidak dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.
“Mengenai perkara ini tuan boleh tanya dan rujuk sendiri kepada pihak pengurusan. Saya hanya menjalankan tugasan dan tanggungjawab yang diberikan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Ujar bekas pemain perseorangan lelaki negara itu, beliau mengakui tahu apa yang sudah dilakukan.
“Saya juga dah tahu apa yang saya perlu buat terhadap pemain-pemain ini untuk seterusnya,” kata Misbun.Semalam Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, bukan sahaja Misbun tetapi nasib barisan kejurulatihan skuad remaja negara juga bakal diputuskan jawatankuasa khas yang ditubuhkan semalam bagi menilai program latihan pemain muda selepas pulang dari Indonesia dengan tangan kosong.
Jawatankuasa khas diketuai Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam dan dibantu Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh itu juga akan mengambil kira pandangan panel penasihat teknikal di BAM yang terdiri daripada tujuh bekas pemain badminton kebangsaan termasuk legenda negara Datuk Lee Chong Wei dan tujuh eksekutif sukan dalam usaha menambah baik sistem latihan skuad remaja.
Skuad remaja negara menampilkan persembahan hambar di Yogyakarta apabila mereka tumpas kepada juara bertahan, Thailand, 0-3, di peringkat suku akhir acara berpasukan campuran manakala tiada seorang pun wakil layak ke separuh akhir bagi saingan perseorangan.
sumber:- HM
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat adalah pada 2018 menerusi beregu wanita remaja ketika itu Pearly Tan-Toh Ee Wei yang meraih perak, selain membantu skuad negara ketika itu memperoleh gangsa bagi acara berpasukan campuran.