sukan

Kelantan FC tak boleh banyak ‘kepala’

Tidak menolak penubuhan konsortium idea yang baik bagi menyelamatkan Kelantan FC, namun jutawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman mengakui, mempunyai ramai pemilik hanya akan menyukarkan keadaan The Red ­Warriors (TRW).

Berpegang kepada prinsip ‘dalam satu kapal tidak boleh ada ramai nakhoda’, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Vida berkata, mandat perlu beri kepada individu yang benar-benar berpengalaman untuk membuat keputusan.

Saya tidak mahu orang itu cakap ini, orang ini cakap itu dan akhirnya pasukan menjadi terumbang-ambing.“Sebab masing-masing ­(in­di­vidu dalam konsortium) rasa mereka mempunyai cara untuk pasukan tapi kalau ada nakhoda yang betul-betul layak untuk diama­nahkan, barulah cadangan ini boleh diteruskan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menonton aksi Liga Super antara Kelantan FC dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berkesudahan TRW dibelasah 0-5 di Stadium Sultan Muhammad IV di sini kelmarin,

Kata Vida, rundingan mengenai pembelian TRW dengan pemilik kelab, Norizam Tukiman atau Zamsaham sedang ‘rancak’ berjalan ketika ini.

“Ketika ini sudah 50-50 sama ada untuk mengambil alih pasukan atau mencari kesepakatan lain yang difikirkan terbaik untuk Kelantan FC.

“Lagipun Zamsaham sudah ada pengalaman menguruskan bola sepak.

“Sebelum ini (semasa menjadi penaja Kelantan) saya lebih kepada menjenamakan perniagaan, namun kali ini untuk menjadi pemilik kerana sayangkan Kelantan FC,” ujarnya.

Sementara itu, Norizam dalam satu hantaran di media sosial semalam memberi bayangan mungkin membuat pusi­ngan U dan membatalkan hasrat menjual Kelantan FC.

“Kalau ramai masih mahukan saya lead, Insya-Allah saya takkan jual Kelantan FC,” katanya ketika menjawab perta­nyaan penyokong di Facebook.

Norizam juga mengesahkan sudah pun melunaskan gaji pemain dan berusaha membayar semuanya tepat pada masa.