Dua pemain import baharu Sabah FC, Miguel Angel Garrido Cifuentes dan Ramon Machado de Macedo bakal diturunkan menentang Kuching City FC di Stadium Likas petang esok.
Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee bagaimanapun berkata kelulusan untuk kedua-dua pemain berasal dari Sepanyol dan Brazil itu masih tertakluk kepada Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) yang dijangka diterima hari ini atau sebelum perlawanan petang esok.
Katanya, kehadiran Miguel Angel atau lebih dikenali sebagai Cifu dan Ramon diyakini dapat membantu Sabah untuk mencapai kemenangan ketika beraksi di laman sendiri.
“Pada masa sama kita perlu berikan sedikit masa kepada Cifu dan Ramon untuk mendapatkan persefahaman secukupnya sebelum terus beraksi bersama Sabah FC.
“Pemain lain sudah bermain bersama pasukan sebelum Liga Malaysia 2023 bermula dan sudah pasti dengan kemasukan Cifu dan Ramon mengambil sedikit masa untuk memahami corak taktikal Sabah FC,” katanya mengulas persiapan Sabah menentang Kuching City dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, esok.
Sabah FC mengikat Cifu yang sebelum ini bermain bersama Kelantan FC dan Ramon yang sebelum ini bermain bersama kelab dalam Liga Perdana Azerbaijan menerusi jendela perpindahan Liga Malaysia 2023 yang bermula 5 Julai hingga 1 Ogos ini.
Cifu yang bermain di posisi sayap, manakala Ramon selaku penyerang disasar untuk memperkuat Sabah FC dalam usaha menambah baik prestasi pasukan sepanjang baki perlawanan Liga Super musim ini.
Sementara itu, Kim Swee berkata, beliau lebih suka memikirkan satu perlawanan ke satu perlawanan yang bakal dihadapi Sabah FC berbanding dua atau lebih perlawanan sekali gus.
sumber:- HM
“Saya tidak ingin mengatakan apa yang perlu kita lakukan pada dua perlawanan jika perlawanan pertama kita gagal untuk mendapatkan objektifnya,” katanya.