Meskipun akui reputasi besar dimiliki Johor Darul Ta`zim (JDT) dalam saingan Liga Super tiada tandingan, namun skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) tetap mengharapkan satu keputusan lebih baik dicapai pada pertembungan Sabtu ini.
Pemain skuad Hobin Jang Hobin sedar bukan mudah untuk mereka menafikan kehebatan skuad Harimau Selatan itu, apatah lagi beraksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Ini ditegaskan pemain tengah, Mohamad Hasbullah Abu Bakar yang menyifatkan pertembungan dengan JDT, Sabtu nanti suatu tugas berat yang terpaksa dihadapi dia dan rakan sepasukan.
Menurutnya, tiada mana-mana pihak mampu menafikan kehebatan skuad bimbingan Esteban Solari itu apabila mereka belum lagi tewas sehingga kini.
“Tugas berat bagi kami untuk menyaingi kehebatan JDT, namun tewas 0-7 pada aksi sebelum ini di laman sendiri akan dijadikan pengajaran dan pengalaman berguna sebelum turun di Johor, Sabtu nanti.
“Kami akan berusaha memberikan tentangan sebaik mungkin untuk mendapatkan satu keputusan lebih baik daripada pertembungan sebelum ini.
“Saya yakin dan percaya, semua pemain akan berusaha memberikan persembahan terbaik dan memastikan setiap perancangan serta arahan jurulatih, dapat diterjemahkan dengan baik,” katanya di sini, hari ini.
Pemain berasal dari Johor berusia 28 tahun itu, yakin dengan strategi yang mungkin akan digunakan pasukannya dalam usaha mengekang jentera serangan JDT untuk menjaringkan gol.
“Semua pemain Negeri Sembilan sudah bersedia berhadapan dengan JDT dan akan tampil dengan semangat dan kekuatan baharu untuk mendapatkan keputusan memuaskan.
“Saya berjanji akan memberikan persembahan terbaik jika diturunkan dan akan memastikan jentera di bahagian tengah dapat berfungsi dengan efektif serta berkesan,” katanya yang juga bekas pemain Melaka United FC.
sumber:- HM
Hasbullah sering digandingkan dengan Levi Madinda, Mohamad Safuwan Baharuddin dan Filemon Anyie Standy dan penampilannya bersama Negeri Sembilan dilihat berkesan dalam membantu pasukan itu setakat ini.