ZamSaham Tampil bersuara selepas terima surat MFL

Pemilik pasukan Kelantan FC, Norizam Tukiman tampil memberi penjelasan selepas menerima surat daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) susulan satu kenyataannya menerusi akaun media sosial miliknya, Khamis lalu.

Norizam yang lebih dikenali sebagai Zamsaham menjelaskan syarikatnya, Team Red Warri0rs Sdn Bhd (TRW) mengambil alih pemilikan penuh pasukan bola sepak Kelantan iaitu Kelantan FC dan bukannya mengambil alih pemilikan persatuan.

Justeru, beliau ingin memberikan pencerahan bahawa TRW dan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) adalah dua entiti yang berasingan (separate legal entity) antara satu sama lain).

Ia adalah satu perkara yang amat menyedihkan kerana pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak tahu membezakan antara persatuan dengan pasukan yang bertanding.

“Sebagai Ketua Pengarah Eksekutif MFL, Datuk (Ab Ghani Hassan sewajarnya dan sepatutnya mempunyai pemahaman yang lebih tepat berkenaan dengan pemilikan pasukan bola sepak yang bertanding di Liga Malaysia (Liga M) termasuklah Kelantan FC dan jelas dengan status mereka,” katanya.

Terdahulu, Norizam turut berkongsi surat tunjuk sebab yang diberikan oleh MFL kepada beliau dan turut menjawab beberapa persoalan yang diajukan dalam surat terbabit oleh badan pengendali liga berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Norizam turut memohon MFL supaya bertindak dengan lebih telus dan profesional selain menengaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang niat untuk memburukkan atau menimbulkan tanggapan negatif terhadap MFL mahupun Liga M.

MFL perlu lebih telus dan profesional dengan cara mengadakan mesyuarat, perbincangan, perjumpaan atau pertemuan antara pihak-pihak antara lainnya pemilik kelab.

Selain itu, mengemukakan dan membentangkan akaun, transaksi dan semua urusan kewangan berkaitan MFL, bagi meningkatkan kredibiliti, ketelusan dan pematuhan oleh semua pihak dengan lebih efektif di tahap yang tertinggi.

Setakat hari ini, Kelantan FC masih belum menerima sebarang laporan audit akaun MFL terdahulu atau memberikan tarikh mesyuarat agung tahunan serta lain-lain cara, inisiatif atau usaha yang dirasakan perlu dan penting bagi membolehkan mutu dan kualiti Liga M dipertingkatkan dari segenap aspek termasuklah pengurusan.

“Apa yang dibuat adalah dengan satu misi iaitu untuk meningkatkan kredbiliti, ketelusan dan urustadbir korporat yang baik untuk meningkatkan taraf dan nilai keseluruhan Liga M,” katanya.