TFC Akan Umum Secara Rasmi

Terengganu FC (TFC) telah melengkapi kuota lima pemain importnya bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2021 dan senarai itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abd Karim berkata, beliau berpuas hati dengan kualiti pemain terbabit yang kini dalam proses dokumentasi.

Pada saya dengan harga yang akan diberikan, Insya-ALLAH pasukan kita diharap menjadi pasukan yang mampu mencabar (pasukan lain), katanya ketika ditemui pemberita selepas program Dialog Hala Tuju Bola Sepak Terengganu di sini malam tadi.

Ditanya mengenai barisan pemain tempatan pula, Hishamuddin berkata, pihaknya juga telah mempunyai senarai yang hampir lengkap dan akan mengumumkannya dalam masa terdekat.

Sementara itu, beliau berkata, Terengganu FC II (TFC II) akan hanya menggunakan khidmat tiga pemain import pada musim depan berbanding kuota empat yang diperuntukkan, bertujuan mengoptimumkan tenaga pemain tempatan.

Peranan TFC II dengan pemain import adalah sebagai back-up kepada TFC dan mereka sebagai pembimbing kepada pemain tempatan kita dalam TFC II, katanya. – BERNAMA