Selamat Tinggal Liga M

KUALA LUMPUR: FELDA United FC (FUFC) tidak akan menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula musim depan.

Pengesahan itu dibuat menerusi kenyataan daripada Unit Komunikasi Korporat FELDA yang dikeluarkan, hari ini.

FELDA ingin memaklumkan bahawa pembabitan FUFC dalam perlawanan bola sepak adalah sehingga musim 2020 sahaja. Mulai tahun 2021, FUFC tidak akan lagi menyertai Liga Super Malaysia dan Liga Perdana Malaysia, jelas kenyataan itu.

Menerusi kenyataan sama, FELDA turut mengumumkan pengambilalihan penuh pentadbiran dan pengurusan FUFC dan anak syarikatnya, The Fight3rs Sdn Bhd bermula 1 September 2020 seperti yang dipersetujui menerusi Mesyuarat Lembaga FELDA.

Katanya, tujuan utama pengambilalihan oleh FELDA adalah bagi mengawal perbelanjaan serta memastikan penyelarasan program sukan yang dirancang serta dilaksanakan lebih patuh kepada garis panduan pengurusan pentadbiran, prosedur perolehan, pengurusan kewangan serta penilaian risik0.

Susulan pengambilalihan ini, Akademi Bola Sepak FELDA yang dikendalikan FUFC sebelum ini tetap akan diteruskan memandangkan akademi berkenaan adalah platform pembentukan bakat dan modal insan dalam kalangan generasi baharu FELDA.

FELDA juga yakin pengambilalihan ini akan dapat membantunya untuk fokus kepada matlamat utama FELDA Well Formed Outcomes yang digarap Datuk Seri Idris Jusoh (Pengerusi FELDA) yang antaranya menggariskan aspirasi meningkatkan pendapatan peneroka sekali gus menambah baik taraf sosioekonomi warga peneroka dan generasi baharunya.

(Seramai) 16 orang kakitangan FUFC akan dibayar pampasan penamatan perkhidmatan mengikut syarat pelantikan yang dipersetujui oleh pengurusan FUFC. Notis makluman serahan tugas sudah diberikan pada 17 September 2020 kepada kakitangan yang terlibat, katanya.

Selain itu, FELDA turut menafikan laporan mengatakan pejabat FUFC dipecah masuk dengan beberapa dokumen penting didakwa ‘hilang’.

Selepas pengambilalihan pada 1 September 2020, FELDA mempunyai hak dan akses penuh kepada pejabat itu, lantas menafikan sebarang tuduhan pecah masuk. Pegawai yang hadir juga diiringi oleh Polis Bantuan FGV Security Sdn Bhd.

Berikutan itu, FELDA sudah membuat satu laporan polis bagi melindungi kepentingannya dan FELDA tidak akan memberikan respons awam berkenaan isu ini bagi tidak mengganggu siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap FUFC, katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *