Sah Jadi Pemain Terbaharu

Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) hari ini mengumumkan pemain baharu yang beraksi di posisi pertahanan kiri iaitu Dinesh a/l Rajasingam bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Bekas pemain Pahang itu merupakan pemain terbaru ketiga yang diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama Selangor FC selepas Shahrel Fikri dan Tim Heubach diperkenalkan pada minggu lalu.

Memiliki kepantasan dan teknik kawalan bola yang baik, Dinesh merupakan pemain tonggak utama skuad B16 kebangsaan 2013 di bawah kendalian S. Balachandran yang menjulang trofi kemenangan untuk Malaysia dalam kejohanan bola sepak ASEAN Football Federation (AFF) di Myanmar.

Untuk rekod, Dinesh merupakan salah seorang pemain yang berjaya membawa kemenangan tersebut setelah menjaringkan gol penalti sewaktu perlawanan akhir men3ntang pasukan Indonesia dengan keputusan 3-2.

Pemain pertahanan kiri ini telah memulakan karier profesionalnya dalam kancah bola sepak Malaysia bersama pasukan Pahang sejak tahun 2016. Beliau juga telah membuat penampilan sebanyak 16 perlawanan selama empat musim bersama skuad gergasi Pantai Timur tersebut.

Pengarah Teknikal Selangor, Michael Feichtenbeiner merasakan Dinesh merupakan pemain yang tepat untuk melangkapkan persediaan pasukan untuk musim akan datang.

“Dinesh mempunyai usia yang muda namun sudah mempunyai pengalaman yang luas bermain dalam saingan Liga Super. Saya yakin beliau dapat membantu Selangor sebagai pemain pertahanan kiri atau sayap kiri dengan kemahiran yang dimilikinya,” ulas Michael.

“Kami bersyukur kerana kami memiliki seorang lagi pilihan pemain yang sesuai selain Zikri Khalili untuk menampung kehilangan K. Prabakaran yang dilepaskan pada hujung musim lalu. Beliau adalah pengganti yang terbaik,” tambahnya.

Malah, Dinesh tidak sabar beraksi dengan skuad g3rgasi merah dan berharap dapat mmebantu raih pelbagai kejayaan pada musim depan.

“Saya amat teruja dan tak sabar untuk beraksi bersama pasukan Selangor untuk musim hadapan.”

“Saya akan cuba sedaya upaya dan belajar sebanyak mungkin dari barisan jurulatih dan rakan sepasukan yang baru,” katanya kepada media Selangor FC.