Safawi Tarik Perhatian ‘cikgu’

Kuala Terengganu: Penghijrahan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid secara pinjaman bersama kelab Portimonense SC dalam Liga Portugal turut menarik perhatian bekas jurulatih pertamanya, Mohd Azhari Salim.

Bekas penolong jurulatih pasukan T-Team itu yang mesra dengan panggilan Cikgu adalah individu yang bertanggungjawab membimbing pemain itu ketika menjadi ketua jurulatih pasukan Bawah 17 Tahun Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Nenas (Sekolah Sukan Terengganu) pada 2013.

Malah setahun selepas itu, Azhari juga bertanggungjawab membawa masuk Safawi beraksi bersama skuad Piala Presiden T-Team sehingga mara ke separuh akhir sebelum tewas kepada Perak.

Pada tahun 2015 ketika Safawi berusia 17 tahun, Azhari menyenaraikan pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu dalam pasukan utama T-Team yang bersaing dalam Liga Perdana dan Liga Super pada 2016 serta layak ke separuh akhir Piala Malaysia.

Dua musim bersama skuad T-Team yang turut dilatih jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner pada 2015 dan bekas jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Rahmad Darmawan (2016), kelibat pemain yang mampu beraksi di bahagian sayap kiri dan penyerang itu diintai pasukan gergasi negara, JDT sebelum pemain itu berkelana menyarung jersi pasukan JDT itu pada tahun 2017 sehinggalah musim ini.

Selepas mendapat tahu Safawi menerima tawaran beraksi bersama kelab Liga Portugal itu, saya begitu teruja dan gembira kerana impian saya untuk melihat pemain itu beraksi di pentas tertinggi peringkat antarabangsa tercapai.

Malah pemain muda yang mempunyai kemahiran dan pakej lengkap tidak sombong kerana sehingga sekarang masih lagi menghubungi saya walaupun berada di Portugal, dia ada menyatakan corak latihan sedikit keras berbanding di Malaysia, namun dia seronok belajar ilmu bola sepak di sana.

Ketika menerima tawaran daripada pasukan JDT pada 2017, Safawi ada minta pandangan saya sama ada menerima tawaran itu atau sebaliknya, ternyata tindakan pemain itu yang mendengar nasihat supaya berhijrah adalah tepat apabila kelibat pemain itu semakin menyinar bersama juara Liga Super sebanyak tujuh kali berturut-turut itu.

Harapan saya mahu lihat Safawi mampu menjadi pemain utama kelab Portimonense SC itu selepas ini walaupun sudah beraksi ketika mewakili pasukan Bawah 23 Tahun kelab berkenaan minggu lalu, katanya yang mencungkil bakat Safawi ketika pemain itu mewakili daerah Dungun dalam sukan sepak takraw pada usia 15 tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *