Langkah Kanan Faisal Halim

Dua musim kontrak bersama pasukan Terengganu FC (TFC) sudah cukup menggambarkan harapan yang tinggi diletakkan diatas bahu pemain lincah kebangsaan Mohd Faisal Abdul Halim untuk mencetuskan kejayaan kepada skuad Pantai Timur itu.

Menurut pemain kelahiran Pulau Pinang itu, kepercayaan yang diberikan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBNT) terhadapnya amat tinggi dalam memastikan kejayaan pasukan dapat diraih musim depan.

“Saya tidak mampu menjanjikan bulan dan bintang namun sebagai pemain kesungguhan dan tumpuan seratus peratus akan diberikan kepada skuad TFC, kemampuan yang ada dilebarkan bersama pemain lain dalam pasukan. “Kerjasama secara berpasukan amat penting kerana bola sepak sukan yang perlu membentuk persefahaman 11 pemain bukan kemampuan satu atau dua pemain sahaja,” katanya.

Mohd Faisal berkata, selepas dua minggu mengikuti latihan bersama pasukan TFC di bawah kendalian Nafuzi Zain keserasian semakin terasa walaupun kali pertama bersama skuad Penyu itu.

Mohd Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Mickey berkata, dia seronok dapat bersama barisan pemain pasukan TFC yang memiliki kemahiran serta semangat jvang yang tinggi ketika turun beraksi di tengah padang.

Tambahnya lagi, kesanggupan PBNT menerimanya akan dibalas dengan sebaik mungkin, persembahan terbaik akan diberikan dalam memastikan kejayaan diinginkan dapat dicapai musim depan.

“Saya ingin mengekalkan prestasi cemerlang ketika bersama Pahang selama lima musim dan usaha meningkatkan lagi kemahiran serta kemampuan menghasilkan jaringan akan dilakukan.

“Saya tidak sabar untuk beraksi dalam saingan Liga Super dan Piala AFC 2021 bersama pasukan TFC, langkah kanan bersama skuad Penyu diharap berakhir dengan cemerlang. “Harapan saya hanya satu iaitu mengharapkan kerjasama rakan sepasukan dapat sentiasa dibentuk pada setiap perlawanan Liga Malaysia (Liga M) musim depan,” katanya. Mohd Faisal menambah, dia juga mengharapkan doa peminat setia Penyu supaya kejayaan dapat berpihak pada pasukan.