Kedah Sahkan Nama Baharu Pasukan

ALOR SETAR: Nama pasukan Kedah atau skuad Lang Merah bagi musim depan akan dikenali sebagai Kedah Darul Aman FC, umum Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor.

Sanusi yang juga Menteri Besar mengumumkan perkembangan itu pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Nama pasukan ini dinamakan pasukan Kedah Darul Aman. Saya rasa boleh selesai bab (nama) ini dan kemudian kita adakan pertandingan logo dan ianya sedang dibuka dengan syarat-syarat boleh didapati di laman web dan laman Facebook KFA dengan tawaran hadiah serta wang tunai RM5,000 kepada pemenang, katanya.

Mengulas mengenai perkembangan penajaan baharu yang sedang diuruskan KFA, Sanusi memaklumkan pihaknya juga telah bersetuju pembelian saham oleh Perbadanan Menteri Besar (MBI) sebanyak 80 peratus ke atas saham syarikat Darulaman FC Sdn Bhd.

Ada orang cakap musim depan FA (Persatuan Bola Sepak) sudah tak ada, tapi sebenarnya masih ada iaitu 80 peratus saham Darulaman FC (DFC) dimiliki MBI dan 20 peratus selebihnya akan dimiliki KFA.

Cuma MBI sedang berunding dengan beberapa pihak untuk menubuhkan sebuah konsortium dan 80 peratus pegangan saham itu akan dikongsi dikalangan konsortium itu, katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Firdaus Ahmad berkata, terdapat sekurang-kurangnya lima syarikat yang sedang dalam rundingan bagi pembelian pegangan saham dalam DFC.

Sama ada MBI mahu menjual keseluruhan saham kepada satu syarikat saja atau berkongsi secara sama rata antara syarikat itu, semuanya terpulang kepada mereka.

Kita juga masih membuat rundingan dengan syarikat lain termasuk juga Koperasi Anak-anak Kedah Berhad (KAKB).

Kita memerlukan mana-mana syarikat yang bersedia dan boleh memberi kata putus untuk menyegerakan proses pembelian saham dalam MBI itu sendiri, sebab kita kena buat persediaan segera untuk persiapan musim akan datang, katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *