Jauh Tocang Lari

Larian sejauh lapan hingga 10 kilometer sehari membantu pemain Sri Pahang FC, Mohd Faisal Rosli mengekalkan tahap kecergasan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohd Faisal atau Tocang berkata, ini kerana semua pemain pasukan itu menjalani latihan bersendirian sejak pelaksanaan PKP.

“Setakat ini, saya tidak berdepan masalah dan mengikut segala arahan ditetapkan pengurusan pasukan untuk memastikan semua pemain berada dalam keadaan cergas. “Kebiasannya larian sejauh lapan hingga 10 kilometer dilakukan pada sesi pagi manakala latihan melalui ‘Google Meet’ lebih kepada kecergasan pada sesi petang. Alhamdulillah, tahap kecergasan saya sejak memulakan latihan sepanjang PKP berjalan lancar dengan dipantau jurulatih kecergasan.

“Saya juga turut melakukan tendangan dan tidak hanya fokus pada larian dan latihan kecergasan sahaja,” kata pemain kelahiran Kuala Rompin, Pahang itu.

Mengulas kehadiran Thomas Dooley selaku ketua jurulatih, Mohd Faisal berkata, pengalaman bekas pemain antarabangsa itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

Katanya, sebagai pemain, segala tunjuk ajar dan arahan diberi jurulatih memberi pengalaman baharu untuk tampil dengan lebih yakin.

“Saya lihat tahap kecergasan dan kemahiran dalam mengawal bola diberikan fokus utama untuk memastikan semua pemain sentiasa bersedia. Diharapkan Sri Pahang FC melakar kejayaan terbaik dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini,” katanya.