Dua Pemain Baharu Perkuat Pasukan

Dua bekas pemain FELDA United FC menjadi tonggak baharu pasukan Negeri Sembilan (NS) yang kini dalam persiapan membentuk pasukan mantap bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Sumber Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) berkata penjaga gol, Mohamad Muhaimin Mohamad, 29, dan pemain pertahanan, Osman Yusoff, 26, menandatangani kontrak dengan pasukan itu petang semalam.

Kedua-dua mereka adalah pemain berpengalaman yang diyakini akan dapat membantu menambah kekuatan pasukan NS musim depan terutama di posisi pertahanan, kata sumber itu di sini, hari ini.

Berbanding Muhaimin, Osman yang berasal dari Kedah, tidak asing lagi bagi pasukan NS kerana pernah bersama skuad berkenaan pada 2018 dan 2019. Bagi Muhaimin pula, penjaga gol berpengalaman itu sudah membuktikan kemampuannya menjaga gawang dengan baik.

Setakat ini, bekas pemain Terengganu FC, Nasrullah Hanif Johan dan bekas pemain Melaka United (MU) Annas Rahmat turut memperkuatkan pertahanan manakala dua bekas pemain Petaling Jaya City (PJ City) iaitu R Aroon Kumar dan R Barathkumar di bahagian tengah.

Dalam pada itu, bekas penyerang Kedah, Mohamad Zaquan Adha Radzak yang kembali bersama pasukan negeri kelahirannya itu dikatakan bakal dilantik sebagai kapten pasukan.