Sukan

Memang tidak jangka — pengendali

Pengendali PJ City City, P Maniam mengakui tidak menjangka anak buahnya mampu mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-2 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

Walaupun ia hanya keputusan seri, dia tetap gembira dengan kemampuan skuadnya yang tidak diperkuat pemain import berkongsi satu mata dengan juara Liga Super lapan kali berturut-turut itu.

Katanya, semangat juang dan komitmen 100 peratus yang diberikan pemain menjadi faktor utama mereka berjaya bangkit dari ketinggalan untuk mendapatkan keputusan seri menerusi jaringan penyamaan R Kogileswaran pada minit akhir perlawanan.

Kita boleh nampak pemain PJ City bermain bagitu bersemangat dan menunjukkan satu karakter bagus. Ini apa yang kami mahu dan setiap masa kita bagi tahu pemain, kena bermain sebagai satu pasukan.

Saya lihat semua pemain walaupun pemain gantian pun, mereka bagi 100 peratus. Sebenarnya kami tidak jangka boleh seri, semua pemain menunjukkan karakter dan sikap yang bagus.

Sudah pasti sebagai jurulatih saya sangat gembira dan saya harap pengurusan juga gembira sebab arahan pengurusan mahu kami pungut tiga mata kerana mereka percaya dengan keajaiban.

“Namun, ia tetap menjadi satu kejutan kepada kami dengan mendapat satu mata,” kata Maniam selepas perlawanan.

Anak buah Maniam menjadi pasukan keempat yang meraih satu mata berdepan JDT dalam saingan Liga Super musim ini selepas Selangor, Melaka United dan Sri Pahang.

PJ City bagaimanapun kekal di tangga ke-10 dengan mengutip 17 mata selepas mengharungi 18 perlawanan.

sumber:- BH

Sementara itu, JDT yang beraksi 17 perlawanan terus memimpin Liga Super dengan menghimpun 43 mata sekali gus masih berada pada landasan terbaik merangkul kejuaraan buat kali kesembilan berturut-turut.