Sukan

Kedah memang layak

Keazaman tinggi semua pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang bertekad meneruskan rentak kemenangan menjadi antara faktor skuad Sang Kenari membenam Selangor 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman malam tadi.

Dua gol pendahuluan oleh Ronald Ngah dan Marc Valez ternyata meningkatkan keyakinan pemain KDA walaupun dibolosi jaringan Herlison Caion, namun mereka melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga oleh pemain gantian Fayadh Zulkifli di hujung permainan.

Pengendali KDA, Aidil Sharin Sahak, sudah menduga skuadnya bakal ditentang hebat oleh Selangor yang menunjukkan kebangkitan selepas mengikat Johor Darul Ta’zim 1-1 dan menewaskan Sabah FC 3-2 sebelum ini.

Saya bangga kerana pemain menunjukkan tahap permainan yang baik pada malam ini (semalam), dengan permulaan dua gol yang dihasilkan di babak pertama dan saya rasa itu tidak mudah dilakukan ketika berdepan pertahanan Selangor.

Pemain Kedah menunjukkan keazaman tinggi untuk mendapatkan kemenangan di laman sendiri dan secara keseluruhan saya rasa kami layak untuk menang pada perlawanan ini dan ia perlawanan yang baik untuk kedua-dua pasukan serta juga penyokong yang hadir memberi sokongan.

Selain turun dengan azam yang tinggi untuk memburu kemenangan, kami juga melakukan persiapan dengan membuat beberapa analisa tentang corak dan sistem permainan Selangor di bawah kendalian jurulatih baharu, katanya.

Aidil juga berkata kehadiran lengkap pemain import yang beraksi dalam kesebelasan utama juga membantu dalam mencapai misi memburu kemenangan.

Kehadiran semula Marc Vales bersama pemain import sedia ada bersama pasukan dalam beberapa perlawanan lalu jelas memberi impak yang diharapkan.

“Malah saya gembira dengan sumbangan gol yang dihasilkannya kali ini walaupun beliau hanya berlatih sekali selepas pulang dari Melaka akibat kecederaan kaki, dan saya anggap keinginan untuk tetap bersama pasukan yang beliau tunjukkan adalah satu pengorbanan untuk pasukan,” katanya.

sumber:- BH

Susulan kemenangan itu, Kedah kini kembali berada di tangga kelima dengan menghimpun 27 mata dan memiliki masa dua minggu untuk proses pemulihan dan mengembalikan kecergasan sebelum menyambung aksi berdepan PJ City di laman sendiri.