Sukan

‘Jalan terakhir’ untuk Tze Yong

Berbaki tiga bulan sebelum kalendar 2022 melabuhkan tirainya, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong berdepan cabaran tersendiri dalam misi menembusi kelompok 32 terbaik dunia.

Pemain berusia 22 tahun itu yang menduduki ranking ke-39 dunia hanya mempunyai tiga kejohanan sebagai ‘jalan terakhir’ untuk dia melonjakkan kedudukan rankingnya.

Dia yang memenangi pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 dijadual menyertai saingan Masters Indonesia pada 18 hingga 23 Oktober, Terbuka Hylo di Jerman (1 hingga 6 November) dan Terbuka Australia (15 hingga 20 November).

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, berkata badan induk itu percaya dengan kemampuan Tze Yong untuk menghasilkan keputusan positif bagi melonjakkan kedudukan ranking dunianya sebelum saingan musim baharu bermula, Januari depan.

“Kami cuba masukkan nama dia untuk bermain di Terbuka Denmark (18 hingga 23 Oktober) dan Terbuka Perancis (25 hingga 30 Oktober) dalam senarai simpanan. Kalau ada rezeki, dia akan ke sana.

“Namun, sekiranya tidak kami mendaftarkan dia untuk menyertai saingan Masters Indonesia, Terbuka Hylo dan Terbuka Australia. Memang tidak banyak pilihan kejohanan buat Tze Yong dan dia perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang dalam kejohanan yang dia boleh beraksi.

“Kami berharap dia sekurang-kurangnya boleh berada dalam kelompok ranking ke-35 terbaik dunia pada hujung tahun ini tetapi sebaiknya 32 dunia bagi membolehkan dia menyertai kejohanan besar tahun depan berdasarkan merit,” kata Choong Hann.

Aksi terakhir Tze Yong di pentas antarabangsa adalah pada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun, bulan lalu yang menyaksikan dia yang layak pada saat akhir terkandas di pusingan kedua.

Sebelum itu, dia mempamerkan ‘magisnya’ apabila berjaya membantu skuad badminton negara memenangi emas acara berpasukan campuran di Sukan Komanwel Birmingham selain turut meraih perak dalam saingan individu.

Choong Hann, berkata Tze Yong ketika ini fokus terhadap latihannya selepas mengharungi jadual padat sejak penyertaannya di Terbuka Malaysia, Jun lalu.

sumber:- BH

“Sekarang ini dia dalam proses pengukuhan untuk meningkatkan lagi tahap fizikalnya. Kami mahu pastikan yang dia benar-benar bersedia apabila kembali beraksi dalam kejohanan,” katanya.