Sukan

Cerita kurang enak mula timbul

Melaka United (MU) tampak belum ‘kebah’ dengan ‘penyak!t’ lama apabila berterusan mengalami masalah tunggakan gaji seperti sebelum ini.

Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan tunggakan gaji membabitkan ‘skuad Kancil’ sudah mencecah tiga bulan selepas pemain turut tidak menerima gaji bagi bulan Ogos.

Sebelum ini, PFAM sudah menerima laporan daripada 17 pemain MU mengenai isu tunggakan gaji yang sedang dihadapi mereka bagi bulan Jun dan Julai serta baki bayaran bagi bulan Januari 2022.

Menerusi satu kenyataan, PFAM mengambil serius masalah tunggakan gaji yang dihadapi oleh pemain dan akan membantu untuk membela hak pemain dari semasa ke semasa.

PFAM sudah mengambil tindakan untuk menghantar notis kepada MU bagi menjelaskan tunggakan berkenaan dan perkara ini sudah dibawa ke peringkat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sehingga hari ini, pihak PFAM masih menunggu agar suatu tarikh ditetapkan oleh FAM bagi membincangkan perkara ini di Majlis Penyelesaian Resolusi Kebangsaan (NDRC).

PFAM juga menggesa agar penetapan tarikh perbicaraan di NDRC dipercepatkan agar proses pembelaan dapat dijalankan dengan segera.

sumber:- BH

“Pihak kelab dinasihatkan agar sentiasa menghormati obligasi yang sudah dipersetujui di dalam kontrak agar dapat menjaga kepentingan kedua-dua belah pihak,” kata persatuan itu.