Sukan

FAM sahkan dua aksi Tier 1 skuad Malaysia

Dua pasukan iaitu Myanmar dan Hong Kong bakal menguji skuad Harimau Malaya dalam aksi persahabatan Tier 1, Jun ini.

Perkara itu disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan kedua-dua aksi terbabit bakal dijadikan medan terakhir buat pengendali negara, Kim Pan-gon sebelum bersaing di pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 di sini.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan badan induk itu, kedua-dua aksi itu akan diadakan di Kuala Lumpur.

“Dua pasukan ini dilihat sebagai lawan bersesuaian untuk skuad Harimau Malaya mempersiapkan diri menjelang tiga perlawanan Kumpulan E bertemu Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain pada 11 Jun dan Bangladesh pada 14 Jun, dalam misi Malaysia memburu slot untuk layak ke Piala Asia 2023,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, skuad kendalian Pan-gon melalui tiga aksi persahabatan di Singapura pada bulan lalu.

Malaysia menang ke atas Filipina dengan 2-0, sebelum tumbang 1-2 di tangan Singapura, dengan kedua-dua aksi itu adalah perlawanan rasmi Tier 1.

sumber:- HM

Sementara itu, satu lagi aksi berdepan kelab Singapura, Albirex Niigata yang dijalankan secara tertutup menyaksikan skuad negara menang 3-0.