Sukan

Cools akui dan mohon maaf

Dalam kamus bola sepak, terdapat terma ‘hari yang buruk di pejabat’ bagi menggambarkan mengenai persembahan hambar yang mengejut dan tidak dijangkakan daripada sesebuah pasukan ataupun pemain.

Jadi, pertahanan negara, Dion Cools mungkin berdepan situasi sama apabila mengharungi malam yang kurang baik ketika berdepan Singapura pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Singapura, malam tadi.

Selepas beraksi cemerlang sehingga dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan ketika menentang Filipina, Cools jelas tidak dapat mengulangi konsistensi yang sama ketika aksi ‘Tetangga Seberang Tambak’ itu.

Keghairahan Cools untuk naik membantu serangan membolehkan ruang yang ditinggalkan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Singapura untuk mencari gol dan gawang Malaysia ‘bocor’ dua kali menerusi bahagian kanan.

Meskipun tidak wajar meletakkan kesalahan sepenuhnya di bahu Cools kerana bola sepak adalah aksi berpasukan namun pertahanan berusia 25 tahun itu mengakui ia adalah persembahan terburuknya sepanjang mewakili skuad negara.

Namun, dia tetap menghargai sokongan yang diberikan dan dia akan bangkit untuk memberikan aksi yang lebih baik sekali gus menggembirakan penyokong.

“Saya tidak akan menipu. Mungkin inilah persembahan terburuk saya buat skuad kebangsaan dan saya benar-benar ingin meminta maaf kepada semua orang.

“Perlawanan terakhir (lawan Filipina) menang hebat. Perlawanan ini (lawan Singapura), saya perlu lupakan segera. Ini sebahagian daripada kehidupan.

sumber:- BH

“Terima kasih atas sokongan yang diberikan. (Harap) kita boleh meraikan (kejayaan) bersama-sama selepas ini,” kata Cools.