Penyokong bola sepak tempatan boleh bersiap sedia memenuhi stadium utama negara apabila perlawanan utama membabitkan pasukan negara dan kelab akan berlangsung di negara ini bermula bulan depan.
Menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Penggal 2021-2025 yang keempat, badan induk bola sepak negara itu mengesahkan beberapa perlawanan peringkat antarabangsa anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan diadakan di Malaysia.
Perlawanan membabitkan Liga Juara-Juara AFC (ACL) bagi zon timur membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan diadakan di Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos bermula 15 April- 30 April 2022.
JDT akan bersama-sama Kawasaki Frontale (Jepun), Guangzhou FC (China) dan pemenang antara Buriram United (Thailand) atau Daegu (Korea Selatan) akan berentap bagi mendapatkan slot ke pusingan kalah mati.
Sementara itu, perlawanan di sekitar Lembah Klang lebih meriah apabila Kuala Lumpur City juga akan menjalani kempen Piala AFC mereka di negara ini pada Jun nanti.
Juara Piala Malaysia itu bertemu Tampines Rovers (Singapura) dan PSM Makassar (Indonesia) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras.
Mengikut rekod, saingan peringkat kumpulan ACL akan dijalanakan secara dua pusingan sementara hanya satu pusingan untuk Piala AFC.
Selain itu, perlawanan paling dinantikan penyokong bola sepak tempatan adalah aksi kelayakan Piala Asia 2023 akan berlangsung di stadium utama di negara ini.
sumber:- HM
FAM mengesahkan aksi kumpulan E membabitkan skuad kebangsaan, Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh akan diadakan di Kuala Lumpur dengan Stadium Nasional Bukit Jalil dijangka menjadi lokasi pilihan sementara Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur akan bertindak selaku ‘venue standby’.