Sukan

JDT sah umum secara rasmi

Juara Liga Super Malaysia, pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjalin kerjasama strategik baharu dengan Universal Music Asia Tenggara (UM SEA) dan Def Jam Recordings SEA bagi menerbitkan lagu tema rasmi kelab itu bertajuk ‘Pioneers’ hari ini.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik JDT bertitah, sudah tiba masa untuk memartabatkan lagu tema JDT di peringkat antarabangsa yang mana ia dihasilkan berdasarkan cabaran dan pengalaman diharungi JDT selama ini.

Titah baginda, Universal Music Group adalah syarikat muzik terbesar di dunia dengan sejarah artis yang memenangi anugerah dan muzik hebat serta membentuk industri hiburan hampir 100 tahun.

Titah baginda, sudah pasti legenda hip hop yang terkenal seperti ‘Snoop Dogg’ menjadi pilihan paling tepat bagi mempersembahkan lagu tema rasmi JDT 2022.

Gandingan Snoop Dogg bersama artis Johor, Joe Flizzow sememangnya satu gandingan yang menakjubkan dan kami berharap Pioneers akan menjadi permulaan bagi jalinan kerjasama antara JDT dan Universal Music pada masa depan.

Lagu tema ini bukan saja amat bermakna bagi kelab malah penyokong JDT di seluruh negara. Saya yakin ia mampu mengukir senyuman tidak ternilai dalam kalangan mereka.

“Ia akan menjadi sumber inspirasi bagi pasukan JDT bagi terus meraih kejuaraan,” titah baginda.

Tunku Ismail bertitah demikian pada sidang media sempena pengumuman lagu tema JDT baharu.

Terdahulu, Tunku Ismail menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pengedaran lagu Pioneers oleh Snoop Dogg dan Joe Flizzow sebagai lagu tema rasmi JDT 2022 di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak JDT di Iskandar Puteri di sini.

Hadir sama Pengarah Urusan Universal Music Malaysia Sdn Bhd, Kim Lim dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Datuk Norman Abdul Halim serta Joe Flizzow.

Universal Music Malaysia akan menjadi rakan kongsi pengedaran muzik eksklusif untuk single itu yang akan tersedia di platform digital di seluruh dunia, mulai esok (18 Mac 2022).

sumber:- HM

Lagu ini bukan saja menjadi strategi penjenamaan global malah bakal menjadi sumber inspirasi bagi membolehkan peminat menyalur serta dan menghargai intipati nilai kemenangan JDT iaitu mentaliti, inovasi, disiplin dan kecemerlangan di peringkat tertinggi.