Sukan

TMJ cakap terus buat

Bukan cakap kosong atau cakap kedai kopi, sebaliknya Tunku Ismail Sultan Ibrahim cukup serius mengotakan janjinya menaja perbelanjaan pertukaran rumput baharu jenis Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, dengan kadar segera.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) meluahkan hasratnya untuk menanggung kos pertukaran padang itu di laman sosial Facebook Johor Southern Tigers (JST) tengah hari ini, tidak main-main apabila terus menandatangani cek untuk menyegerakan proses berkenaan.

Menerusi status terbaharu di JDT jam 6 petang sebentar tadi, Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) meluluskan sejumlah wang untuk diberikan kepada kontraktor bagi memulakan kerja-kerja itu.

Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor menandatangani cek untuk padang baharu Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Pemeriksaan di Stadium Nasional akan dilakukan pada 19 Mac ini sebelum meneruskan persiapan terakhir dengan Perbadanan Stadium Malaysia. Syarikat padang dan krew penyelenggaraan padang Stadium Sultan Ibrahim sudah bersedia untuk memulakan kerja,” tulis JST.

Walaupun tidak menyatakan berapa kos sebenar, namun difahamkan perbelanjaan itu mungkin menelan belanja tidak lebih RM1.5 juta seperti mana padang yang terdapat di Stadium Sultan Ibrahim.

Ketika ini, Stadium Nasional Bukit Jalil masih menggunakannya rumput jenis ‘cowgrass’ yang tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden.

sumber:- HM

Malah, Tunku Ismail sendiri sering menyarankan agar semua stadium bola sepak di negara ini menitikberatkan soal rumput memandangkan aspek berkenaan perkara paling penting dalam sukan bola sepak.