Sukan

‘Lunyai’ selepas rehat

Kegagalan Penang FC (PFC) meneruskan ‘skrip’ babak pertama untuk dibawa ke separuh masa kedua disifatkan menjadi punca skuad Harimau Kumbang sekadar mampu meraih satu mata selepas terikat dengan Melaka United 1-1, malam tadi.

Situasi itu diakui pengendalinya, Tomas Trucha yang menjelaskan babak pertama berlangsung dengan lancar namun pasukannya hanya mampu beraksi mantap dalam tempoh 45 minit pertama sebelum ‘lunyai’ selepas rehat.

Malah, segala-galanya tampak sudah memihak kepada PFC apabila berjaya di depan terlebih dahulu namun kesilapan yang dilakukan menyaksikan ‘ramalan’ Trucha untuk kekal mendahului sehingga rehat babak pertama berkecai.

Babak pertama mengikut perancangan kerana kita mahu mengawal permainan, menguasai bola dan sabar untuk mencipta peluang. Kita terus bermain seperti ini dan hasilnya, kami berjaya mendapatkan gol.

Saya rasa kalau pengadil lebih berani untuk memberikan sepakan penalti kerana insid3n Danial Ashraf, kita akan mendahului 1-0 tetapi kemudiannya kita membuat kesilapan.

“Kita memberikan sepakan percuma dan sepakan sudut yang tidak sepatutnya dan mereka dapat menjaringkan gol. Sepatutnya kita mendahului 1-0 sehingga tamat separuh masa,” katanya.

Pada aksi terbabit, Danial yang juga penjaring gol PFC tampak dikasari oleh pertahanan Melaka di dalam kotak penalti pada minit ke-36 namun pengadil perlawanan, Mohd Hasrol Mohd Amir mengarahkan permainan diteruskan.

Dalam masa sama, Trucha turut mengharapkan pemain simpanan dapat memberi impak seperti yang diharapkan bagi mengubah keputusan daripada mengutip satu mata kepada mata penuh.

Kami membawa masuk beberapa pemain baharu pada separuh masa kedua untuk memberi tekanan dan secara jujurnya, saya jangkakan usaha yang lebih daripada pemain gantian.

Kita perlu tambah baik dari segi ini kerana pemain gantian yang dimasukkan tidak begitu menjadi. Sebab itulah perlawanan ini berakhir 1-1.

sumber:- BH

“Saya tidak gembira dengan keputusan seri ini kerana kita sepatutnya menang. Namun seperti yang saya katakan, kita perlu lebih berani, lebih tenang dan lebih agresif tetapi ia tidak berlaku,” katanya.