Sukan

Tetap akan berikan saingan sengit kepada JDT

Pasukan Liga M3, BRM FC berasa teruja berjaya meloloskan diri ke pusingan pertama Piala FA musim ini sekali gus memastikan pertembungan dengan pasukan bola sepak gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT).

BRM, yang mendahului Kumpulan B Liga M3 menerusi perbezaan gol selepas tiga perlawanan, menyingkirkan kelab seangkatan mereka Tun Razak City FC 2-1 pada perlawanan play-off di Stadium Majlis Perbandaran Manjung malam tadi menerusi dua gol sumbangan penyerang Khairul Asyraf Sahizah.

“Alhamdulillah kami menang semalam. Tahniah kepada semua pemain dan jurulatih. Semangat kami semakin meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

Walaupun berdepan JDT selepas ini, kami akan tetap berikan saingan yang sengit kepada mereka,” kata kapten BRM, Azmeer Yusof ketika dihubungi.

Kelab berpangkalan di Kuala Kangsar, Perak itu akan berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri Ahad ini untuk bertemu JDT, juara Piala FA 2016 yang juga juara Liga Super lapan kali berturut-turut.

“Malam tadi amat luar biasa!! Kami berjaya melakukannya!! Usaha yang tidak pernah mengkhianat! hasil,” tulis BRM dalam perkongsian di laman Facebook rasmi mereka.

Paling teruja penyokong kelab itu yang melontarkan pujian terhadap skuad kendalian Ahmad Fairuz Yunus kerana berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan setakat ini.

“Terbaik dan tahniah. Kita lawan dulu dengan JDT tu. Kalah menang belakang kira. Kalau menang kira lagi terbaik. Tahniah di atas kemenangan tadi. Terbaik sekali lagi buat semua, pihak pengurusan dan pemain,” kata seorang peminat Mohd Ali.

“Powerr BRM… ada trip fans ke SSI ke? Nak ikut hehe,” komen Muhammad Badrun Naim manakala ada peminat yang mencadangkan pengurusan kelab itu menyewa tiga buah bas buat penyokong untuk ke Iskandar Puteri.

sumber : HM

BRM dikenali dengan motto ‘Luaskan Legasimu’ manakala JDT ‘Luaskan Kuasamu’.