Sukan

Teruk kena kecam, Jawapan Maloney steady je

Disebalik kecaman bertalu-talu dilemparkan ke atas skuad bawah 23 (B-23) tahun negara susulan kegagalan di Kejuaraan AFF B-23 di Kemboja kelmarin, pengendali negara dari Australia, Brad Maloney tetap tenang dengan situasi itu.

Katanya, walaupun keputusan tidak memihak anak buahnya namun beliau berjaya mengesan tiga pemain baharu yang boleh dipertaruhkan dalam kempen Piala Asia B-23 di Uzbekistan, Jun ini.

Jelasnya, enam hingga tujuh pemain baharu yang pertama kali merasai nikmat saingan antarabangsa di Kemboja ini meraih pengalaman berguna dan ia perkembangan yang positif buat masa depan bola sepak negara.

Dari mula sudah dinyatakan bahawa pasukan mahu memberi peluang kepada pemain baharu selain peluang untuk kita menambah dan meluaskan lagi kelompok pemain di peringkat antarabangsa.

“Saya boleh katakan ada antara mereka yang beraksi dengan baik sepanjang saingan dan kita perlu berlatih bersama dengan lebih kerap bagi memberi pemahaman dan ia sesuatu yang positif.

“Mungkin ada dua atau tiga pemain yang boleh dipertimbangkan untuk saingan berikutannya (Piala Asia B-23). Di sini (Kejuaraan AFF) adalah pentas untuk beri peluang dan memberi pengalaman serta meningkatkan keyakinan mereka,” katanya.

Skuad muda negara yang hadir selaku pilihan gagal melepasi peringkat Kumpulan B selepas tewas dua kali di tangan Laos dengan 1-2 dan 0-2.

Kegagalan itu nyata mengejutkan ketika skuad sama turut layak secara merit ke Piala Asia B-23 di Uzbekistan sekali gus menimbulkan keraguan dikalangan peminat tentang peluang negara di pusingan akhir Asia itu.

Namun harus diingatkan bahawa, skuad yang di bawa ke Kemboja ini bukanlah pasukan sebenar negara, di mana ramai pemain utama tidak disenaraikan ekoran Kejuaraan AFF ini berlangsung di luar kalender Fifa.

sumber:- HM

Di Uzbekistan nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan C bersama juara bertahan, Korea Selatan disamping dua lagi pasukan Asia Tenggara iaitu Vietnam dan Thailand.